Jasa besar Daba bukan hanya bola sepak...

Daba (tengah) semasa lawatannya ke Mesir bertemu pelajar-pelajar Kedah di negara tersebut. Gambar kecil: Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil. - Foto Facebook Arkib Daba
Daba (tengah) semasa lawatannya ke Mesir bertemu pelajar-pelajar Kedah di negara tersebut. Gambar kecil: Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil. - Foto Facebook Arkib Daba
A
A
A
ALOR SETAR - Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil bukan sahaja berjasa besar kepada bola sepak Kedah turut menjadi tulang belakang penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua'adzam Shah (UniSHAMS) yang ada pada hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Kedah, Zakaria Othman berkata, Ahmad Basri atau lebih dikenali sebagai Daba di kalangan peminat bola sepak negara turut membangunkan institusi pendidikan tinggi agama itu yang awalnya dikenali sebagai Kolej Unversiti Insaniah (Kuin).

Menulis coretan di Facebook rasminya, beliau mengimbas kembali kenangan 25 tahun dahulu mengiringi lawatan kerja Daba selaku Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah pada 1993 ke Mesir.

"Lawatan kerja ini adalah hasil undangan Majlis Kebajikan Keluarga Kedah (MKKK) selaku badan bertanggungjawab menyelia kebajikan anak-anak Kedah di Lembah Nil ini. Sebagai penasihat MKKK, saya dipertanggjawabkan untuk mengiringi lawatan kerja ini.

"Pada suatu petang, ketika kami sedang santai minum di tepi Sungai Nil, sambil berbincang berkaitan dengan isu sara hidup, keselamatan, penguasaan bahasa Arab dalam kalangan pelajar serta beberapa hal lain, terlintas difikiran Daba untuk melaksanakan program berkembar Kedah dan Universiti Al Azhar," katanya.

Zakaria berkata, selepas mengunjungi Kedutaan Besar Malaysia di Mesir, perbincangan perlaksanaan idea penubuhan universiti berkembar mula dijalankan.

Menurutnya, satu Jawatankuasa Kerja dibawah Yayasan Islam dibentuk diketuai Menteri Besar Kedah pada waktu itu, Tan Sri Osman Aroff dan Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) diberi tanggungjawab memastikan penubuhan cawangan Al-Azhar di Kedah menjadi kenyataan.

"Beberapa lawatan kerja Kerajaan Kedah ke Universiti Al Azhar serta lawatan balas Rektor Azhar ke Kedah berjalan lancar. Akhirnya satu MOA ditandatangani diantara kerajaan negeri dengan universiti tersebut.

"Maka tertubuhlah “Institut Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman' atau nama singkatannya ialah Insaniah. Nama institut ini dalam bahasa Arab pula ialah 'Al Jamiah Al Islamiah Al Hukumiah Bi Kedah Darul Aman," katanya lagi.
Artikel Berkaitan:


Tambahnya, Daba diakui dekat di hati rakyat Kedah kerana menjadi pengurus Hijau Kuning bermula tahun 1987 hingga tahun 1993 kecuali pada tahun 1991 sahaja.

"Sebagai tokoh bola sepak, saya juga mempunyai kisah tersendiri dengan beliau. Di mana beliau pernah meminta saya menjadi guru Al Quran kepada pemain-pemain projek bola sepak Kedah pada ketika itu.

"Alhamdulillah. Sepanjang membimbing pemain bola sepak membaca Al Quran, seorang pemain berbangsa cina juga turut mengikuti kelas berkenaan serta mempelajari ilm-ilmu sebelum memeluk islam. Hasil daripada kelas tersebut, sehingga kini saya rapat dengan beberapa pemain bola sepak Kedah," katanya.