Di mana ibu Adam?

Adam Danish menunjukkan sijil kelahirannya yang tidak lengkap.
Adam Danish menunjukkan sijil kelahirannya yang tidak lengkap.
A
A
A

KLUANG - Seorang lelaki meminta bantuan orang ramai mencari ibu kandung anak angkatnya bagi memudahkan mereka menguruskan proses dokumentasi dan penyerahan anak angkat secara sah.

Jefferi Mohd Nor, 53, berkata, anak angkatnya, Adam Danish Sha Abdullah, 9, diserahkan kepadanya oleh seorang wanita sehari selepas dilahirkan pada 15 Oktober 2009 di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di Batu Pahat.

“Wanita tersebut dikenali sebagai Noraini Isa dan berumur 26 tahun ketika itu dan selepas dia menyerahkan anaknya kepada saya, dia langsung tidak pernah menghubungi saya termasuk untuk bertanyakan khabar anaknya itu.

“Saya hanya dimaklumkan Noraini ini mempunyai anak yang ramai, selain berhadapan masalah keluarga menyebabkan dia menyerahkan zuriatnya sebaik dilahirkan sebelum menghilangkan diri tanpa dapat dikesan sehingga sekarang,” katanya.

Menurutnya, ketika wanita tersebut menyerahkan bayi tersebut kepadanya sembilan tahun lalu, dia hanya menerima surat pengesahan kelahiran daripada pihak HSNI tanpa disertakan sekali maklumat berkaitan ibu dan bapa bayi berkenaan.

Katanya, ketiadaan dokumen yang lengkap ini juga menyukarkannya mendaftarkan kelahiran Adam Danish di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), selain sijil kelahiran didaftarkan sebagai bukan warganegara.

“Saya sebelum ini beberapa kali mencari Noraini di Batu Pahat, namun ketiadaan maklumat berkaitan tempat tinggalnya menyukarkan saya untuk mencarinya dan saya berharap kali ini Noraini ini dapat tampil dan menghubungi saya.

“Akibat status Adam Danish ini, saya mengalami kesukaran termasuk urusan persekolahan dan kesihatannya kerana terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi tambahan pula masa depannya masih terlalu panjang lagi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia juga berharap orang ramai yang mengenali wanita tersebut dapat menghubunginya di talian 012-7101297 bagi mengatur temu janji untuk proses penyerahan anak angkat secara sah di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Tanpa dokumen lengkap, saya risau Adam Danish tidak dapat merasai kemudahan pendidikan dan kesihatan lain seperti kanak-kanak dan secara tidak langsung tersisih daripada sebarang manfaat sedangkan dia dilahirkan oleh wanita Malaysia,” katanya.