Orang Melayu perlu berfikir secara rasional: Daim

Daim Zainuddin
Daim Zainuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin menegaskan orang Melayu perlu berfikir secara rasional supaya tidak terpengaruh dengan naratif yang dijaja UMNO terutamanya melibatkan isu agama dan perkauman.

Melalui temu bual bersama South China Morning Post dalam ruangan This Week Asia, Daim sememangnya menjangkakan pembangkang yang diketuai UMNO akan mengapi-apikan sentimen perkauman selepas kekalahan parti BN dalam PRU14, 9 Mei tahun lalu.

Bahkan katanya, ianya tidak mengejutkan selepas kesetiaan politik orang Melayu kini berpecah kepada lima iaitu Bersatu, PKR, Amanah, Pas dan UMNO.

“Pembangkang akan sentiasa mengeksploitasi dan mengambil kesempatan. Cara paling mudah ialah menggunakan kaum dan agama,” katanya dalam akhbar itu yang diterbitkan Khamis lalu.

Menurut Daim, antara isu perkauman tersebut termasuklah pelantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan dan pengambilalihan aset Lembaga Tabung Haji (TH).

"Siapa curi duit? Kamu masih mahu mereka (BN)? Kamu boleh cari mereka. Kementerian Kewangan beli (aset TH) sebanyak RM19 bilion. Kamu tidak gembira? Ini sesuatu yang tidak kena.

"Oh, (kata UMNO), Kementerian Kewangan ialah Cina. Apa Cina? Ini adalah kerajaan PH. Hanya yang bodoh percaya perkara-perkara ini dan saya katakan terlalu banyak orang bodoh di sekeliling," katanya.

Dalam laporan itu, South China Morning Post turut melaporkan kenyataan bekas ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Razlan Rafii yang berkata bahawa walaupun beliau menerima Tun Dr Mahathir Mahathir Mohamad sebagai pemimpin yang dihormati dalam kalangan orang Melayu, tetapi negarawan veteran itu ‘sangat berbeza’ semasa berkuasa buat kali kedua.

Artikel Berkaitan:

“Kami terima beliau sebagai Bapa Pembangunan tetapi beliau kini bekerjasama dengan DAP. Mereka menguasainya,” kata Razlan kepada akhbar yang berpangkalan di Hong Kong itu.