Harga rendah tanpa orang tengah

Abdul Fattah (kiri) membuat gimik memotong riben sewaktu Majlis Pra Pelancaran Program BA100 yang berlangsung di Masjid Saujana Utama.
A
A

SUNGAI BULOH - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menggalakkan rangkaian kedai runcit milik koperasi dapat menggunakan sistem Program Bantuan Asas 100 (BA100).

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pelaksanaan program berkenaan membolehkan koperasi membeli terus barangan keperluan asas daripada pengeluar tanpa melibatkan orang tengah sekali gus mampu mengurangkan harga berbanding pasaran biasa.

Beliau berkata, melalui program BA100 ini juga, koperasi terlibat akan menghantar senarai barangan yang diperlukan manakala Angkasa bertindak menyelaras senarai tersebut serta menyerahkannya kepada pengusaha atau pembekal terlibat.

"Ini bermakna barang akan sampai terus kepada koperasi dan dapat mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.

"Untuk fasa pertama kita sasarkan rangkaian kedai koperasi, fasa kedua nanti pula kedai ahli koperasi dan fasa ketiga kita akan buka kepada peruncit lain yang berminat," katanya pada sidang media Majlis Pra Pelancaran Program BA100 yang berlangsung di Masjid Saujana Utama, hari ini.

Terdahulu, pelaksanaan BA100 ini pernah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam usaha untuk menawarkan harga barangan asas lebih rendah berbanding pasaran.

Mengulas lanjut, Abdul Fattah memaklumkan, sebanyak kira-kira 100 koperasi seluruh Malaysia akan terlibat dalam program BA100 tersebut menerusi majlis pelancaran rasmi yang bakal berlangsung pada 15 Mei depan.

"Sekiranya seluruh koperasi menggunakan sistem tersebut, dianggarkan seramai 6.5 juta ahli koperasi di seluruh negara akan mendapat manfaat hasil daripada inisiatif ini.

"Pelaksanaan program itu merupakan tanggungjawab Angkasa bagi membantu ahli koperasi dan kerajaan dalam usaha untuk mengurangkan kos sara hidup akibat harga produk barangan runcit yang mahal," katanya.

Menurutnya, Angkasa mempunyai 3,700 koperasi yang telibat dalam bidang peruncitan meliputi koperasi kariah masjid, sekolah, institut pengajian tinggi (IPT) dan lain-lain.

"Jadi sudah semestinya jika langkah ini digunakan, ia bakal memberi manfaat kepada banyak pihak," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia