Rakan bapa buat onar!

A
A

KANGAR - Seorang murid darjah enam dipercayai dirogol kenalan bapanya di dalam sebuah kontena di Kampung Tengah Sungai Baru Utan Aji, di sini, April lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, ketika berada di rumahnya, murid perempuan berusia 12 tahun itu sedang tidur sebelum dikejutkan kenalan bapanya itu yang turut tinggal di rumah tersebut.

Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd berkata, mangsa dibawa suspek ke sebuah kontena berhadapan dengan rumah sebelum bertindak merogolnya.

Menurutnya, suspek merupakan rakan kepada bapa mangsa dan telah tinggal bersama sejak beberapa tahun yang lalu, malah perbuatan keji itu dilakukan suspek ketika bapa mangsa tiada di rumah.

"Siasatan awal yang dijalankan, mangsa turut mendakwa dirogol suspek di dalam bilik air rumahnya pada awal April lalu, kira-kira jam 12.30 tengah malam.

"Mangsa yang tidur ketika itu tiba-tiba dikejutkan suspek sebelum dirogol," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas laporan polis yang dibuat mangsa, semalam, suspek berusia 37 tahun telah ditahan polis kira-kira jam 1 pagi di sekitar Kangar.

Katanya, siasatan masih dijalankan dan mangsa telah dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar untuk pemeriksaan.

"Suspek kini direman empat hari sehingga Khamis. Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya.