Kapal dagang Myanmar ditahan bersama kru, juragan

Lapan orang kru termasuk juragan warga Myanmar ditahan di perairan Pulau Pinang pada kedudukan 0.3 batu nautika Barat Pangkalan Weld Quay kelmarin.
Lapan orang kru termasuk juragan warga Myanmar ditahan di perairan Pulau Pinang pada kedudukan 0.3 batu nautika Barat Pangkalan Weld Quay kelmarin.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Sebuah kapal dagang dari Myanmar berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas gagal mengemukakan dokumen yang sah.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, kapal MVPYA (PYA) 194588 itu ditahan di perairan Pulau Pinang pada kedudukan 0.3 batu nautika Barat Pangkalan Weld Quay pada jam 1.45 petang kelmarin.

Menurutnya, kapal berkenaan dilihat dalam keadaan mencurigakan selepas ia didapati sedang berhimpit dengan salah sebuah kapal dagang dari negara sama yang ditahan pada dua hari lalu.

"Pemeriksaan mendapati lapan orang kru termasuk juragan warga Myanmar semuanya lelaki berumur lingkungan 23 hingga 52 tahun berada di atas kapal disyaki bersalah kerana gagal mempamerkan dokumen.

“Mereka akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 50,000,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Sinar Harian melaporkan dua buah kapal dagang dari Myanmar ditahan Maritim selepas gagal mempamerkan dokumen yang sah.

Kapal MV Khine Khine dan MV Shwe Ngw Lin Aung ditahan di kedudukan 0.4 dan 0.5 batu nautika Timur Laut Sungai Pinang pada jam 10.30 pagi dan 11 pagi selepas dilihat sedang bersauh dalam keadaan mencurigakan.

Pemeriksaan dilakukan mendapati 20 orang warga Myanmar berumur lingkungan 18 hingga 74 tahun berada di atas kedua-dua kapal dan gagal mempamerkan dokumen yang sah.

Artikel Berkaitan:

Hamizan berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan pemantauan dan rondaan bagi membanteras sepenuhnya aktiviti yang menyalahi undang-undang jenayah di laut.

Orang awam diminta agar melaporkan sebarang kejadian mencurigakan, kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi APMM Pulau Pinang di talian 04-2626146.