Tiada lagi imam tarawih luar negara di Perak

Asmuni (empat dari kanan) menyerahkan Kad Prihatin kepada salah seorang penerima pasa Majlis Penyerahan Kad Prihatin Perak bagi Dun Manjoi hari ini.
Asmuni (empat dari kanan) menyerahkan Kad Prihatin kepada salah seorang penerima pasa Majlis Penyerahan Kad Prihatin Perak bagi Dun Manjoi hari ini.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak menyambut baik akan perlaksanaan solat sunat tarawih tanpa menggunakan khidmat imam dari luar negara di masjid dan surau di negeri ini.

Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi berkata, pihaknya menjunjung titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk tidak membenarkan pelaksanaan tersebut.

Menurutnya, menggunakan khidmat pelajar tahfiz tempatan yang disyorkan Jabatan Mufti Perak adalah langkah terbaik mengimarahkan solat sunat itu.

"Pada saya, ia satu langkah terbaik dalam menggalakkan penglibatan anak-anak yang belajar di maahad tahfiz. Kalau kita tidak gunakan mereka ini untuk menjadi imam dalam solat2 tarawih, kita tidak beri peluang kepada mereka untuk mengamalkan ilmu mereka pelajari.

"Jawatankuasa masjid dan surau juga diingatkan untuk memilih imam berkelayakan dengan melihat pelbagai aspek dengan bacaan tajwid yang betul dan taranumnya dalam memikat jemaah kita. Jangan memilih imam mengikut sentimen sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kad Prihatin Perak Dun Manjoi kepada lebih 700 penerima di Dewan Serbaguna Sungai Tapah di sini semalam.

Jumaat lalu, Jabatan Mufti Perak mengeluarkan kenyataan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah untuk tidak membenarkan imam dari luar negara menjadi imam solat sunat tarawih.

Jabatan Mufti turut mengesyorkan masjid dan surau di negeri ini menggunakan khidmat pelajar tahfiz tempatan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Asmuni berkata, pemberian Kad Prihatin antara inisiatif kerajaan negeri untuk meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan yang didaftarkan di bawah e-kasih dan asnaf.

"Kad makanan dan kesihatan ini dapat membantu meringankan beban mereka membeli barang keperluan seperti minyak, sardin dan beras serta mendapatkan perkhidmatan di klinik swasta yang didaftarkan dan klinik kerajaan.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri tetap meneruskan program kotak makanan yang diuruskan oleh Yayasan Perak, namun ia diagihkan kepada mereka yang tidak menerima kad ini," katanya.