Remaja patah kaki motor langgar kereta peronda polis

Keadaan motosikal dinaiki mangsa selepas merempuh sebuah kereta peronda polis.
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun patah kedua-dua belah kakinya selepas motosikal ditunggangi merempuh sebuah kereta peronda polis dalam satu kejadian di Kilometer 21.1 Lebuhraya Link Kedua Arah Timur di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.04 pagi itu, mangsa difahamkan sedang menunggang motosikalnya secara melawan arus kerana mahu melarikan diri daripada sekatan jalan raya di laluan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, ketika kejadian, kenderaan polis jenis Proton Inspira yang terbabit dalam kemalangan itu sedang melakukan rondaan penguatkuasaan trafik dari Gelang Patah menghala ke Perling.

"Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan polis ini telah bertembung dengan motosikal mangsa yang mana ketika itu sedang melawan arus kerana disyaki lari daripada sekatan jalan raya di hadapannya.

"Akibat kemalangan itu, mangsa patah kedua-dua kaki sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, bagaimanapun, anggota polis yang berada dalam kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, punca kemalangan masih dalam siasatan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia