Dua bot nelayan Vietnam ceroboh perairan negara ditahan

Antara hasil tangkapan laut daripada bot nelayan warga Vietnam tersebut.
Antara hasil tangkapan laut daripada bot nelayan warga Vietnam tersebut.
A
A
A

KUANTAN - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menahan dua bot nelayan warga Vietnam yang menangkap ikan di perairan negara, semalam.

Jurucakap Bahagian Komunikasi Strategik Markas Wilayah Laut 1, Tanjung Gelang, Kuantan berkata, seramai 20 warga Vietnam telah ditahan di sekitar Laut China Selatan, dalam operasi berkala di perairan berkenaan.

Menurutnya, kedua-dua bot dipercayai telah menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan secara haram dan tidak terkawal.

"Ini berdasarkan kepada lokasi serta hasil tangkapan yang diperolehi dan peralatan menangkap ikan di kedua-dua bot tersebut.

"Siasatan awal juga mendapati kesemua awak-awak dipercayai tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah di samping mengaburi pihak berkuasa dengan menyamar sebagai bot tempatan.

"Antara tindakan mereka adalah dengan mengibarkan bendera Malaysia, mempamerkan nombor pendaftaran nelayan tempatan dan menunjukkan lesen bot yang disyaki palsu," katanya.

Menurutnya, operasi itu adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan TLDM dalam melindungi dan menjaga kedaulatan perairan Malaysia.

"Kedua-dua bot berkenaan diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, dua bot asing yang menceroboh perairan negara dan melakukan aktiviti haram juga ditahan TLDM Khamis dan Jumaat lalu di sekitar Laut China Selatan.

Kedua-dua bot terbabit disyaki menceroboh perairan Malaysia dan melaksanakan aktiviti haram yang boleh menjejaskan ekonomi negara.