Ada penjawat awam tak sokong PH banteras rasuah, kata PM

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) bergambar bersama penjawat awam pada Majlis Townhall Bersama Penjawat Awam Negeri Perak di Kelab Golf Diraja Perak hari ini. Turut sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (tiga kanan) dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman (tiga kiri). - Foto Bernama
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) bergambar bersama penjawat awam pada Majlis Townhall Bersama Penjawat Awam Negeri Perak di Kelab Golf Diraja Perak hari ini. Turut sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (tiga kanan) dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman (tiga kiri). - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui terdapat segelintir penjawat awam mahu kerajaan yang ada sekarang tidak diteruskan hanya kerana tidak bersetuju dengan ketegasan mereka membanteras gejala rasuah.

Beliau berkata, ada juga dalam kalangan mereka menganggap kerajaan pimpinan PH ini tidak sebaik pentadbiran terdahulu yang membolehkan mereka hidup lebih sempurna dan berpendapatan lebih.

"Apabila kita cuba membersihkan negara, sudah tentu mereka tidak dapat wang yang biasa diterima kerana itu ada yang berpendapat kerajaan ini tidak perlu diteruskan dan mahu kembali kepada kerajaan yang menguntungkan mereka.

“Ada juga yang berpendapat lebih baik ada pemerintah yang suka memberi bantuan wang percuma walaupun diperolehi secara haram... tetapi percayalah apabila pemimpin dan kerajaan sendiri mengamalkan rasuah, kita yang menjadi mangsa kerana tidak mendapat layanan sepatutnya daripada kerajaan mentadbir.

"Kita dah lihat apabila pemimpin terlibat rasuah, ramai anggota pentadbiran juga terlibat sama hinggakan ada yang dihadapkan ke mahkamah dan mungkin akan dihukum,” katanya ketika berucap pada Majlis Town Hall Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Perak hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman bersama 1,500 penjawat awam dari jabatan negeri, pejabat daerah dan tanah, pihak berkuasa tempatan serta badan berkanun negeri.

Pada sesi tersebut, Dr Mahathir turut menjelaskan, kerajaan sememangnya memberi penekanan kuat dalam membasmi rasuah dan selaku penjawat awam mereka perlulah mematuhi dasar dan pendekatan dibawa pemimpin sekarang selama mana ia berada sebagai kerajaan.

Menurutnya, sekiranya amalan rasuah masih berlaku, ia bukan sahaja menidakkan pembangunan negara tetapi melambat-lambatkan segala usaha dan menghalang pencapaian hanya kerana segala arahan tidak dipatuhi.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan tidak dapat melakukan apa-apa hanya boleh berbicara memutuskan undang-undang untuk kebaikan negara sedangkan pelaksanaannya dilakukan anggota kerajaan yang kekal.

“Sebab itu kita mestilah bersama sanggup berkorban diri, halang (rasuah) untuk kebaikan diri dan nikmatnya nanti turun ke anak cucu kerana matlamat pembangunan menjadikan Malaysia sebagai Harimau Asia sekali lagi dapat dicapai dengan mudah dan cepat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengingatkan bahawa kerajaan sememangnya perlu mengagihkan peluang dan kekayaan negara secara adil tanpa mengira warna kulit, bangsa atau agama bagi mengelak berlakunya huru-hara.

Jelasnya, jika agihan itu tidak dilakukan dengan baik, negara berkemungkinan tidak dapat membangun dengan aman kerana menghadapi tekanan dan rusuhan keganasan akibat rasa tidak puas hati antara satu dengan lain.

"Jika kita abaikan usaha agihkan kekayaan dan hasil negara dengan baik, maka berlakulah perasaan tidak senang yang lama kelamaan akan cetuskan huru-hara, bahkan lebih daripada itu.

"Sebab itu dalam semua usaha agihan kekayaan, peluang dalam negara dan hasil dari pentadbiran yang tidak terlibat dengan rasuah perlu dirasai semua," katanya.