Sasar negara sifar malaria menjelang 2020

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan agar Malaysia diiktiraf sebagai negara 'sifar malaria manusia jangkitan tempatan (human indigenous malaria)' oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjelang 2020.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, untuk tujuan tersebut Malaysia perlu komited dalam usaha mengekalkan status 'sifar malaria manusia jangkitan tempatan’ bagi tiga tahun berturut-turut.

"KKM kini giat mempersiapkan pasukan kesihatan di semua peringkat bagi menghadapi proses audit pensijilan eliminasi malaria oleh WHO, di mana menerusi Inisiatif Program Eliminasi Malaria di Malaysia telah menunjukkan kejayaan pengurangan kes berkenaan.

"Inisiatif Program Eliminasi Malaria di Malaysia berjaya dikurangkan daripada 4,164 kes pada tahun 2011 kepada sifar kes pada 2018 sekali gus menunjukkan kita berada di landasan yang betul berhubung sasaran eliminasi sifar malaria tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagi merealisasikan sasaran tersebut, Dr Noor Hisham berkata, penglibatan dan kerjasama semua pihak terutama pemain industri berkaitan sektor perladangan, perhutanan, pertanian, kawalan keselamatan dan rekreasi hutan diperlukan bagi melindungi pekerja daripada dijangkiti malaria.

KKM juga berharap pihak industri dapat memastikan semua pekerja asing melalui pemeriksaan perubatan termasuk saringan malaria mengikut polisi yang ditetapkan kerajaan di samping menyediakan atau memudahkan akses kepada perkhidmatan kesihatan kepada pekerja yang mengalami gejala malaria.

Sempena Sambutan Hari Malaria Sedunia 2019 yang bertemakan Sifar Malaria Bermula Dengan Kita, beliau berharap kerjasama daripada semua pihak dapat digembleng bagi memastikan sasaran sifar malaria manusia jangkitan tempatan dapat direalisasikan.

Sambutan Hari Malaria Sedunia disambut pada 25 April setiap tahun bagi mengiktiraf usaha global dalam mengawal penyakit malaria. - Bernama

Artikel Berkaitan: