Pekebun rugi RM290,606.80 diperdaya 'pegawai polis'

Mohd Wazir
Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Bimbang bungkusan yang dipos mempunyai unsur dadah menyebabkan seorang pekebun berputih mata setelah ditipu RM290,606.80 di Cameron Highlands, April lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian berlaku apabila mangsa menerima panggilan telefon pada 22 April lalu daripada seorang lelaki dari Pejabat Pos Kuantan.

Menurutnya, individu tersebut memberitahu mangsa bahawa barang yang dikirim ke Sarawak dikesan mengandungi dadah dan telah dirampas pihak polis.

"Mangsa kemudiannya telah disambungkan oleh seorang 'pegawai polis' di Bukit Aman yang memintanya memasukkan duit sebanyak RM172,606.80 dan dengan segera dia melakukannya.

"Namun, dari 26 April sehingga 1 Mei lepas, suspek meminta wang lagi dan mangsa memasukkan duit berjumlah RM118,000 dengan enam transaksi melalui tiga akaun bank berbeza.

"Mangsa yang tidak tahan kerana sering didesak terus datang ke balai membuat laporan polis dan baru tersedar dia telah ditipu," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Sementara itu, bagi kes berlainan, Mohd Wazir berkata, seorang pesara tentera kerugian RM10,500 selepas dirinya ditipu oleh dua individu menyamar sebagai pegawai Telekom Malaysia (TM) dan pegawai polis, Khamis lalu.

Menurutnya, mangsa telah menerima panggilan daripada pegawai TM menyatakan bahawa dirinya terlibat dengan internet judi haram dan kemudiannya telah disambung kepada pegawai polis berpangkat koperal.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa kononnya telah disenaraikan sebagai orang dikehendaki dan mempunyai waran tangkap dan disambung pula pada seorang polis bernama Inspektor Azmi dan perlu membuat bayaran sebanyak RM10,500.

"Mangsa terus membayar wang tersebut melalui enam transaksi dan Inspektor Azmi meminta pengadu merahsiakan kes tersebut selama tiga hari daripada pengetahuan orang lain.

"Mangsa kemudiannya memberitahu anak perempuannya berkenaan kes ini dan dia terus datang ke balai polis untuk membuat laporan polis.

Kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.