Perkasa bahasa kebangsaan pelajar sekolah tamil melalui teater

Muhammad Bakhtiar Wan Chik - Foto Sumber internet
Muhammad Bakhtiar Wan Chik - Foto Sumber internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penglibatan pelajar sekolah tamil dalam seni persembahan teater dapat membantu memperkasa bahasa kebangsaan selain berkomunikasi dengan lebih baik, kata Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Beliau berkata, ia merupakan antara kaedah pembelajaran yang menyeronokkan dengan suntikan elemen asas teater yang mencerminkan kehidupan individu dan masyarakat.

“Paparan mesej harmoni yang dipersembahkan juga menjadi elemen penting dalam pemupukan nilai murni dalam kalangan pelajar.

“Inisiatif ini secara tidak langsung dapat melahirkan generasi lebih cemerlang dan harmoni”, katanya berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Teater Bahasa Melayu Antara Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) 2019 di sini hari ini.

Muhammad Bakhtiar berkata kerjasama kementeriannya dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kementerian Pendidikan dalam mengadakan program itu sejak 2007 dapat melahirkan generasi pelapis seni budaya negara.

Dalam majlis hari ini, SJK(T) Pasir Gajah, Kelantan meraih gelaran juara menerusi persembahan teater bertajuk “Mahkamah Hantu”, manakala naib juara diungguli oleh SJK(T) Ringlet, Pahang dan SJK(T) Sungai Ara, Pulau Pinang pula mendapat tempat ketiga.

Pemenang masing-masing menerima hadiah wang tunai berjumlah RM5,000, RM3,000, RM2,000 beserta piala pusingan, piala iringan, buku dan sijil.

Saingan dalam pertandingan itu berlangsung dari bulan Mac sehingga April, melibatkan lebih 600 pelajar daripada 60 buah sekolah di 11 negeri.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pelajar SJKT Pasir Gajah Harinee Vijayakumar, 11, ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah berkata latihan yang berdisiplin setiap hari membantu kumpulannya tampil dengan persembahan yang cemerlang.

“Cikgu memberi kami masa selama dua bulan untuk hafal skrip. Seminggu untuk berlatih secara keseluruhan termasuk dengan set dan prop. Memang ada masalah bahasa. Tetapi kami buat latihan secara tubi mengenai cara bertutur dengan baik,” katanya.- Bernama