Beregu campuran ke final Terbuka New Zealand

A
A

KUALA LUMPUR - Beregu campuran profesional negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying melangkah ke final Kejohanan Badminton Terbuka New Zealand dengan bergaya setelah menundukkan gandingan Hafiz Faizal-Gloria Emanuella Widjaja dari Indonesia, hari ini.

Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Eventfinda, Auckland, Peng Soon-Liu Ying yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan tidak berdepan masalah meraih kemenangan 21-14, 21-18 dalam tempoh 40 minit.

Kejayaan mara ke pentas akhir itu sekali gus menyaksikan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2016 berjaya membalas dendam kekalahan 21-18, 12-21, 16-21 di suku akhir Terbuka Singapura, bulan lalu.

Pasangan profesional itu yang sebelum ini bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan berdepan gandingan Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti dari Indonesia selepas pilihan kelima itu mudah menundukkan pasangan Taiwan Wang Chi Lin-Cheng Chi Ya 21-12 23-21.

Kisah berbeza dialami beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong selepas pilihan ketujuh kejohanan itu gagal menyaingi kehebatan pasangan Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dalam aksi tiga set.

V Shem-Wee Kiong, bagaimanapun, memberi tentangan sengit kepada pilihan kedua kejohanan tersebut sebelum tewas 19-21, 21-18, 14-21 dalam masa 52 minit. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia