Adik kelar abang dengan pisau

kelar
A
A

KEPALA BATAS - Gara-gara hanya perselisihan faham kecil, seorang lelaki cedera dipercayai dikelar adik kandung sendiri dalam kejadian di sebuah rumah di Bertam Perdana petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa ditahan polis yang sedang menjalankan tugas rondaan jenayah di lokasi kejadian.

"Siasatan dijalankan mendapati berlaku pergaduhan melibatkan dua adik beradik lelaki yang mana dalam kejadian itu, mangsa telah dikelar oleh adiknya sendiri.

"Saksi kejadian kemudian membawa mangsa untuk mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta berdekatan," katanya.

Katanya, hasil siasatan awal oleh pihak polis mendapati suspek telah mengambil sebilah pisau yang berada di rak kasut dan terus memeluk mangsa dari arah belakang.

"Suspek kemudian bertindak mengelar mangsa di bahagian hadapan leher, beberapa orang saksi yang berada ditempat kejadian segera datang dan membantu mangsa.

"Kejadian berlaku di hadapan rumah mangsa yang juga merupakan bengkel tempat suspek dan mangsa bekerja," katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan mendapati suspek telah bekerja dengan mangsa selama lebih kurang dua tahun secara tidak tetap.

"Mangsa kemudiannya mendapat rawatan di sebuah klinik swasta di Bertam dan mendapat kecederaan di hadapan leher sebelah kanan dan dijahit sebanyak lebih kurang tujuh jahitan.

"Tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian yang merupakan kawasan taman perumahan," katanya.

Jelasnya, susulan kejadian polis turut merampas sebilah pisau dapur kecil berukuran 23cm dan sehelai t-shirt berwarna hijau.

"Kesemua barang rampasan dibawa balik ke IPD Seberang Perai Utara untuk tindakan selanjutnya.

"Siasatan dijalankan mendapati suspek tidak berpuas hati dengan mangsa yang menekan dan menegurnya tidak membuat kerja mengimpal, membersihkan besi yang akan digunakan untuk membuat pagar yang ditempah oleh pelanggan," katanya.

Tambahnya, ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati suspek negatif dadah.

"Semakan rekod mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia