Bayaran elaun penerima PJM dijangka tahun depan

Mohamad menyampaikan pingat PJM kepada salah seorang penerima pada Majlis Penganugerahan PJM kepada Veteran ATM Peringkat Negeri Pahang di Pangkalan TLDM Tanjung gelang di sini hari ini.
Mohamad menyampaikan pingat PJM kepada salah seorang penerima pada Majlis Penganugerahan PJM kepada Veteran ATM Peringkat Negeri Pahang di Pangkalan TLDM Tanjung gelang di sini hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Cadangan pemberian Elaun Kenangan bagi penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) akan dikemukakan ke peringkat jemaah menteri dalam masa terdekat.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, pihaknya kini sedang menyiapkan kertas kerja cadangan elaun secara bulanan itu dan berharap dapat diluluskan tahun ini bagi pembayaran tahun hadapan.

Menurutnya, cadangan elaun kepada penerima PJM itu dibuat selepas mesyuarat Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) 28 Februari lalu untuk membela kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Pemberian elaun itu sebagai manifestasi kerajaan terhadap pengorbanan warga ATM ketika menentang komunis.

“Ia membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap veteran dan juga selaras dengan dasar kerajaan yang sentiasa berusaha menaiktaraf kehidupan masyarakat secara keseluruhannya.

“Usaha ini juga dapat mengurangkan jurang pencen antara veteran di samping berupaya membantu veteran yang tidak berpencen,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan PJM kepada Veteran ATM Peringkat Negeri Pahang di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang di sini, semalam.

Mohamad menyampaikan pingat kepada salah seorang veteran yang hadir dengan berkerusi roda.
Mohamad menyampaikan pingat kepada salah seorang veteran yang hadir dengan berkerusi roda.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki Ali; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sanyo dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis itu seramai 305 veteran di Pahang menerima pingat.

Mohamad berkata, sehingga kini seramai 29,000 dari 60,000 veteran ATM yang layak dari seluruh negara sudah menerima anugerah tersebut.

‘Majlis penganugerahan ini akan dilakukan secara berterusan dan dijangka semua veteran yang layak akan menerimanya tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM80 juta untuk Bantuan Harapan Negara 2019 yang memberi faedah kepada 156,368 veteran ATM berpencen dan tidak berpencen.

“Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding penerima inisiatif Bantuan Bakti Negara pada 2017 seramai 43,000 dalam kalangan veteran berpencen dan tidak berpencen.

“Bayaran ini akan mula dilaksanakan pada 27 Mei ini sebagai duit raya untuk penerima membuat persiapan menyambut Aidilfitri,” katanya.

Mohamad bergambar bersama penerima PJM selepas tamat majlis.
Mohamad bergambar bersama penerima PJM selepas tamat majlis.

Pada majlis sama, Mohamad turut menyampaikan bantuan kewangan dengan jumlah keseluruhan RM90,700 membabitkan 19 persatuan veteran termasuk Persatuan Veteran Tidak berpencen Malaysia (PVTTBM), Kelab Veteran Komando Malaysia dan Persatuan Veteran Kor Perkhidmatan Diraja Malaysia (PVKPDM).

Terdahulu dalam ucapannya, Mohamad berkata, bantuan khas kepada persatuan veteran berdaftar itu diagihkan berdasarkan jumlah keahlian dan hanya kepada persatuan yang mengemukakan laporan tahunan mereka kepada Jabatan hal Ehwal Veteran ATM.

“Saya difahamkan, terdapat 141 persatuan yang berdaftar namun hanya 41 sahaja yang layak menerima bantuan khas tersebut.

“Dari jumlah yang layak itu, hanya 19 dapat hadir menerimanya hari ini,” katanya.