Isytihar dana politik antara cadangan penambahbaikan ERC

Abdul Rashid Abdul Rahman
Abdul Rashid Abdul Rahman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keperluan untuk parti politik mengisytihar dana kewangan yang diperoleh dari mana-mana pihak adalah antara 16 komponen cadangan penambahbaikan yang akan dilaksanakan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC).

Pengerusi jawatankuasa itu, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata pada masa kini ERC sedang mengkaji dan menambah baik laporan yang pernah dibuat oleh Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik berhubung keperluan pengisytiharan dana itu.

"Parti politik perlu isytihar duit mereka dan kita perlu tahu dari mana datangnya sumber itu, ia perlu direkod dan diaudit. Yang mana nak beri derma kepada parti politik perlu dilakukan secara terbuka.

"Duit banyak pun tak apa tetapi kita kena tahu sumbernya dan ini sebahagian daripada cadangan penambahbaikan yang kita akan lakukan," katanya kepada media selepas Program Libat Urus ERC Bersama Pengamal Media di Wisma Bernama di sini hari ini.

Selain itu, cadangan penambahbaikan itu turut merangkumi beberapa perkara lain seperti sistem pilihan raya, peranan Suruhanjaya Pilihan Raya, persempadanan semula, daftar pemilih, liputan media yang adil kepada calon dan keperluan kerajaan sementara sepanjang proses pilihan raya berlangsung.

Menurut Abdul Rashid, laporan awal cadangan itu akan diserahkan kepada kerajaan pada akhir tahun ini sebelum laporan akhir akan diserahkan pada pertengahan tahun hadapan.

Pada masa ini, ERC giat mengadakan sesi libat urus bersama parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat seluruh negara bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai penambahbaikan itu.

Inisiatif penambahbaikan itu dilaksanakan bagi memperkuatkan amalan demokrasi pilihan raya dalam negara dan sekaligus meletakkan Malaysia berada sama rata dengan negara maju.- Bernama

Artikel Berkaitan: