Hayati perjuangan Bersatu sebelum jadi ahli

Rina
Rina
A
A
A

BALIK PULAU - "Bekas anggota dan pemimpin Umno yang ingin menyertai Parti Bersatu perlu menghayati prinsip perjuangan parti itu terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan menjadi ahli," kata Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun.

Rina berkata, bekas anggota dan pemimpin Umno itu perlu mempunyai kriteria tertentu sebelum menjadi anggota Bersatu dan parti berhak untuk menerima atau menolak permohonan keahlian mereka.

Menurutnya lagi, ada beberapa pemimpin Umno ada juga yang telah menyerahkan borang keahlian kepada (Pengerusi Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.

"Saya sendiri berharap sekiranya mereka ini ingin menjadi ahli kepada Bersatu adalah kerana prinsip perjuangan parti itu sendiri.

“(Ada di antara) mereka keluar Umno tapi belum nyatakan lagi nak masuk parti mana. Kita sebagai ahli parti juga sebenarnya sudah pasti ada kriteria tertentu.

"Jika sesiapa yang nak masuk parti kita ada kriteria tertentu untuk menerima atau menolak,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek jalan baharu dari Bagan Sungai Pinang ke Kampung Pulau Betong, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan sekumpulan pemimpin Umno yang bertindak keluar parti dan menyertai Bersatu.

Ditanya sama ada keahlian mereka dialu-alukan, Rina berkata pihaknya akan menerima keanggotaan mereka sebagai ahli biasa, namun dari segi kepimpinan perlu dibincangkan dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi.

Artikel Berkaitan:

“Kalau ahli biasa kita terima tapi kalau pemipin kena ada mesyuarat kepimpinan tertinggi Bersatu. Kita mengikut apa yang diputuskan oleh kepimpinan Bersatu,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan Bersatu mahu mendominasi Pakatan Harapan (PH) susulan menerima keahlian bekas pemimpin Umno ke dalam parti, beliau berkata setiap parti komponen dalam PH bekerja sebagai satu pasukan untuk memenangi PRU14 seterusnya memberi khidmat kepada rakyat yang mahu melihat kepada perubahan.

Sementara itu, Rina yang juga Menteri Pembangungan Luar Bandar berkata jalan baharu sepanjang 10.2 kilometer dengan lebar jalan berturap 6.5 meter dan sebuah jambatan itu dijangka siap pada 2021.

Beliau berkata, projek itu akan memberi manfaat kepada lebih 20,000 penduduk di kawasan itu apabila siap sepenuhnya.

“Projek ini sekarang statusnya baru tujuh peratus. Saya berharap projek ini berjalan seperti yang diharapkan dan dapat disiapkan dalam tempoh tiga tahun.

"Projek ini menelan belanja sebanyak RM53 juta dan kita pun ada buat rundingan dengan pihak kontraktor agar dapat dikurangkan harganya,” katanya. - Bernama