Rumah siap tak terjual Johor berharga lebih RM500,000

Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Sr Dzulkefly Ahmad bersama antara penerima unit kediaman RMB Johor Taman Pulai Mutiara di Persada Johor, di sini hari ini.
Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Sr Dzulkefly Ahmad bersama antara penerima unit kediaman RMB Johor Taman Pulai Mutiara di Persada Johor, di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor memaklumkan majoriti kediaman siap dibina yang tidak terjual di negeri ini adalah daripada rumah kategori berharga RM500,000 dan ke atas.

Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Johor, Sr Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah bagi kategori tersebut adalah 3,626 unit bersamaan 59.78 peratus dengan nilai RM3.9 bilion.

Menurutnya, kesemua angka tersebut hasil daripada perangkaan diperolehi sehingga Disember tahun lalu.

"Kebanyakan daripada harga RM500,000 dan ke atas itu adalah daripada jenis berstrata iaitu kondominium atau apartmen yang mewakili 35.25 peratus," katanya pada sidang media Majlis Pengundian Terbuka Rumah Mampu Biaya (RMB) Johor Taman Pulai Mutiara di Persada Johor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai hartanah kediaman tidak terjual di Johor pada tahun lalu, yang sebelum ini dibangkitkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng baru-baru ini.

Dzulkefly yakin kempen Pemilikan Rumah (HOC) atau inisiatif pihak lain merupakan mekanisme bagi mengurangkan angka kediaman siap bina tidak terjual itu.

"Kebiasaannya, dalam kempen-kempen begini, pelbagai insentif seperti diskaun harga, ganjaran tunai termasuk juga pengecualian duti setem bagi pemilikan rumah pertama diberikan.

"Maknanya pemaju kena tampil dengan strategi pemasaran baharu, perlu menawarkan lebih banyak insentif bagi membolehkan rumah siap mereka yang tidak terjual, dapat dibeli oleh pembeli," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pemaju perlu membuat analisa pasaran khususnya tentang permintaan dan penawaran semasa kepada kategori rumah yang akan dibina.

"Jika mengikut sentimen daripada perangkaan yang saya sebutkan tadi, maka inilah masanya pemaju untuk terus fokus membina lebih banyak kediaman pada harga rendah daripada RM500,000 seunit.

"Ia juga termasuk RMB Johor yang berharga RM250,000 dan RM300,000 seunit sebagaimana telah kita laksanakan dalam dasar perumahan baharu berkuatkuasa 1 April lepas," katanya.

Dzulkefly berkata, langkah itu selari dengan pendapatan median isi rumah rakyat Johor iaitu RM5,652 sebulan, yang mana angka tersebut tinggi sedikit daripada min (purata) pendapatan nasional (RM5,228 sebulan).

"Kalau mengikut Piawaian Median Antarabangsa sebagaimana diulas oleh Khazanah Research Institute (KRI), RMB atau Rumah Mampu Milik tidak boleh melebihi tiga kali min tahunan pendapatan rakyat di sesuatu negeri atau negara.

"Kalau berdasarkan kepada formula tersebut, Piawaian Median Antarabangsa, RMB bagi rakyat Johor yang min pendapatan RM5,652 sebulan adalah RM200,000 seunit," katanya.

ADUN Kota Iskandar itu berkata, dasar perumahan yang lama, RMB bagi Johor berharga RM150,000 ke bawah.

"Tinggal lagi apa yang kita perkenalkan baru-baru ini, ia lebih untuk memenuhi keperluan kepada rakyat yang berpendapatan M40 (pendapatan RM8,000 ke RM10,000 isi rumah sebulan)," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, panduan Bank Negara menyatakan ansuran perumahan tidak boleh melebihi 1 per 3 daripada min pendapatan (RM1,884 bagi Johor).

"Kalau kita buat kiraan formula berdasarkan kepada bayaran balik kepada pihak bank iaitu 35 tahun dengan andaian kelulusan pinjaman 90 peratus dengan kadar keuntungan atau faedah 4.2 peratus, jumlah atau harga rumah yang selayaknya mampu dibeli oleh rakyat Johor adalah RM450,000.

"Maknanya saranan saya supaya pemaju membina lebih banyak rumah berharga rendah daripada RM500,000 selari daripada analisa yang saya sebutkan tadi," katanya.

Dzulkefly berkata, kerajaan negeri akan memberikan fokus terhadap 809 unit mewakili 13.34 peratus dengan nilai RM80.1 juta (1.74 peratus) berharga di bawah RM150,000.