Jawatan, gaji Acap masih kekal

Dr Lee Boon Chye
Dr Lee Boon Chye
A
A
A

IPOH - Jawatan dan gaji Mohammad Ashraf Hassan, 29, peserta Gopeng Ultra Trail yang hilang ketika menyertai larian itu, sejak Mac lalu masih dikekalkan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, meskipun kehilangan yang sudah melewati lebih 40 hari itu belum mendapat sebarang kepastian, penjawatannya sebagai juru teknologi makmal perubatan di Klinik Kesihatan Maharani, Muar, Johor masih wujud.

“Beliau masih dikategorikan sebagai kes orang hilang, jadi hak sebagai penjawat awam harus dikekalkan sehinggalah ada keputusan muktamad mengenai perkara itu.

“Jadi memang sepatutnya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membayar gajinya seperti biasa,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian Seminar Hentikan Penderaan peringkat Negeri Perak 2019 di Mydin Meru Raya hari ini.

Beliau berkata, dalam kes-kes sedemikian, terdapat prosedur tertentu yang perlu diikuti sebelum sebarang keputusan dibuat terhadap individu terbabit.

“Prosedur ini biasanya akan ambil sedikit masa tetapi buat sementara ini gaji beliau dibayar seperti sebelumnya,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kehilangan Ashraf: Polis buka kertas siasatan

Mohammad Ashraf atau dikenali dengan panggilan Acap disedari hilang selepas mangsa tidak tiba di garisan penamat meskipun berada pada kedudukan 10 peserta teratas bagi kategori 25km.

Artikel Berkaitan:

Usaha mencari dan menyelamat yang digerakkan hingga kini belum lagi menemui sebarang bukti atau kesan kedudukan beliau berada.

Dalam perkembangan lain, Boon Chye ketika diminta mengulas mengenai kes keracunan metanol, Ahli Parlimen Gopeng ini berkata, setakat ini terdapat empat kes baharu dilaporkan menjadikan keseluruhan enam kes dengan dua kematian berlaku di Perak.

Katanya, daripada empat kes berkenaan, tiga dilaporkan berada dalam kritikal dan menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan seorang ditempatkan di wad.

“Dua daripada mereka menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh sementara masing-masing satu di Hospital Seri Manjung dan Hospital Teluk Intan,” katanya.

Rabu lalu, dua lelaki warga asing dari Bangladesh dan Myanmar meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di HRPB selepas disyaki mengalami keracunan metanol.