Henti fitnah kerajaan, pecah belah umat Islam

Mujahid (depan, empat kanan) teruja mengambar bersama wakil pengurusan kariah 30 masjid di Parlimen Parit Buntar dan hadirin yang menjayakan program Jom Sambut Ramadan di pekarangan Masjid Daerah Parit Buntar hari ini.
Mujahid (depan, empat kanan) teruja mengambar bersama wakil pengurusan kariah 30 masjid di Parlimen Parit Buntar dan hadirin yang menjayakan program Jom Sambut Ramadan di pekarangan Masjid Daerah Parit Buntar hari ini.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Ramadan kali ini perlu menjadi pemangkin kepada semua pihak untuk menghentikan tindakan memfitnah kerajaan dan memecahbelahkan umat Islam terutama di kawasan masjid dan surau.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak menjadikan masjid sebagai tempat menanamkan politik kepartian dan kebencian sepanjang bulan penuh keberkatan itu.

"Selain itu, budaya kafir-mengkafirkan orang lain atau takfiri akan kita tangani dengan tegas dan keras," katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Jom Sambut Ramadan di pekarangan Masjid Daerah Kerian di sini hari ini.

Program itu turut menyelitkan beberapa acara istimewa seperti Quran Hour, pameran, gerai jualan, pertandingan mewarna, kaunter diskaun saman polis dan hiburan berunsurkan Islamik.

Mujahid yang juga Ahli Palimen Parit Buntar berkata, fitnah yang mendakwa kerajaan hari ini tidak mempertahankan Islam boleh menjejaskan usaha memartabatkan agama itu di negara ini.

"Kita dah ambil lima tindakan dalam kes memuat naik status menghina raja dan kes mufti kena ugut. Kita dah tangkap dan dakwa. Mana yang kata kita tak ambil tindakan, soal lambat atau tidak itu bergantung kepada tindakan undang-undang," katanya.

Selain itu Mujahid berkata, kerajaan menambah peruntukan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) daripada RM1.1 bilion kepada RM1.2 bilion.

"Kerajaan hari ini tambah RM50 juta untuk sekolah tahfiz dan RM25 juta kepada sekolah pondok. Jika tindakan saya bercanggah dengan agama Islam, saya sedia buka ruang kepada orang lain untuk kritik, tetapi beri juga saya ruang untuk menjawab kritikan berasaskan fakta.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga ingin tekankan kepada mereka yang menfitnah dan mempermainkan nama saya, saya akan tuntut perbuatan mereka di padang Mahsyar kelak," katanya.

Sementara itu, program itu turut menyaksikan sebanyak 30 masjid di Parlimen Parit Buntar diberikan sumbangan RM30,000 dengan setiap masjid menerima RM1,000 bagi persiapan Ramadan.