Datuk Bandar Ipoh sudah dilantik, tunggu angkat sumpah: Exco

Paul Yong Choo Kiong
Paul Yong Choo Kiong
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak masih belum boleh mengumumkan individu yang bakal dilantik sebagai Datuk Bandar Ipoh baharu.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru, Paul Yong Choo Kiong ketika diminta memberi gambaran calon berkenaan hanya tersenyum dan meminta untuk menunggu pengumuman rasmi mengenai perkara itu.

Menurutnya, pengumuman individu yang bakal menggantikan Datuk Zamri Man itu hanya boleh dibuat sebaik pelantikan dan upacara angkat sumpah selewat-lewatnya dalam tempoh sebulan ini.

"Kita tidak boleh umum lagi, dari segi pelantikan ianya sudah selesai hanya tunggu angkat sumpah sahaja.

"Pengumuman akan kita buat masa terdekat, kemungkinan dalam tempoh sebulan ini," katanya ketika ditemui pemberita sempena majlis perasmian jentera baru Pasukan Bomba Sukarela Pekan Baru Ipoh hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Perak bakal lantik Datuk Bandar Ipoh baharu

ARTIKEL BERKAITAN: Bakal Datuk Bandar Ipoh boleh cakap Jepun

Terdahulu tersebar maklumat bahawa Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Integriti, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin merupakan individu yang bakal dilantik sebagai Datuk Bandar Ipoh baharu. Dr Ahmad Fadzli pernah dilantik sebagai Pengurus Besar Yayasan Perak pada 2012 hingga 2014.

Artikel Berkaitan:

Mengulas perkara itu, Paul Yong berkata, ia hanyalah khabar angin yang dikongsi pelbagai pihak.

"Sekarang memang banyak desas-desus, kita tidak boleh kata kemungkinan beliau atau sebaliknya, perlu tunggu upacara angkat sumpah dibuat dahulu," katanya.

Lantikan Datuk Bandar Ipoh baharu dibuat bagi menggantikan Zamri yang dikatakan ‘menghilang’ tanpa berita sejak beberapa bulan lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebelum ini memberitahu calon berkenaan merupakan anak tempatan yang sudah berkhidmat di merata tempat, seorang yang berpengalaman dan boleh berbahasa Jepun.

Nama individu terbabit juga sudah diperkenankan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.