Muar lubuk emas murah!

Antara rekaan gelang dijual di kedai emas di Muar.
Antara rekaan gelang dijual di kedai emas di Muar.
A
A
A

MUAR - Selain Pulau Pinang, siapa sangka daerah Muar juga menjadi antara destinasi menawarkan harga barangan kemas pada kadar berpatutan.

Seperti berada di lubuk emas, perhiasan wanita yang dijual pada harga istimewa itu mampu diperoleh di mana-mana kedai emas persendirian di daerah ini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, rata-rata barangan kemas dijual dengan harga lebih murah pada kadar lima hingga 10 peratus berbanding harga pasaran semasa.

Dan menariknya, potongan itu bukanlah harga terakhir kerana jika pembeli bijak untuk tawar-menawar, pengusaha kedai emas mampu memberikan lebih tinggi nilai diskaun.

Merungkai keunikan tawaran itu, Sinar Harian berpeluang mendekati salah seorang pemilik kedai emas yang cukup terkenal di Bukit Pasir, di sini.

Mahu dikenali sebagai Ong, pengusaha kedai Bukit Mas berusia 41 tahun ini telah berpengalaman menjual emas sejak lebih sedekad lalu.

Katanya, harga patut ini tercetus lantaran budaya kedai emas di Muar yang menjual pada kadar lebih murah.

“Bila satu kedai mampu jual murah, pengusaha lain juga terpaksa ikut kerana jika tidak kedai kami kurang pelanggan.

Artikel Berkaitan:

“Saya tak tahu sejak bila, namun ketika memutuskan untuk buka kedai emas ini 12 tahun lalu, saya dah tahu dengan harga pasaran di Muar yang dijual tidak terlalu tinggi,” katanya ketika ditemui.

Menurut Ong, beberapa pemilik kedai emas di daerah ini sememangnya menyertai persatuan ditubuhkan.

“Tapi saya tak sertai apa-apa persatuan pun, sebab lebih selesa urus dan kawal harga barangan itu secara sendiri dan tak kisah dapat untung yang rendah.

“Untuk bekalan emas, saya peroleh dari kilang di Pulau Pinang. Umum mengetahui di sana adalah lubuk emas sebenar sebab banyak kilang menghasilkan barang itu.

“Bagaimanapun, harga emas yang ditetapkan seluruh negara menyebabkan bekalan diterima ini tidaklah jauh bezanya,” katanya.

Kedai Ong merupakan antara kedai emas pilihan yang tidak putus menerima pengunjung terutama pada hujung minggu dan musim cuti persekolahan.

Dia berkata, bagi satu gram emas jenis 916, dia boleh menjual dengan harga RM168 di mana harga pasaran pula ketika itu menginjak RM183.70 sehingga RM178.61.

“Manakala, emas jenis 999 pula di pasaran bernilai antara RM200.54 hingga RM194.99, tetapi saya jual RM185 satu gram. Ini pun bukan harga mati sebab bergantung jika pelanggan yang dah biasa atau beli banyak, mereka boleh dapat potongan lagi.

Kedai emas di Muar tidak putus menerima kunjungan pelanggan terutama ketika menjelang cuti persekolahan dan musim perayaan.
Kedai emas di Muar tidak putus menerima kunjungan pelanggan terutama ketika menjelang cuti persekolahan dan musim perayaan.

“Setiap keuntungan barang kemas diambil hanya lima peratus,” katanya.

Harga dikawal persatuan

Sementara itu, seorang lagi pengusaha Kedai Emas Kwang Hee di Pekan Pagoh yang enggan dikenali mengakui menjual barangan itu dengan harga berpatutan hasil perbincangan dari Persatuan Emas daerah Muar.

“Kedai emas saya usahakan dah dibuka sejak zaman bapa saya iaitu 60 tahun lalu. Kami memang ada persatuan yang mencadangkan harga emas pada kadar berpatutan setiap hari.

“Tapi terpulang sama ada peniaga mahu ikut harga dicadangkan atau tidak. Tapi saya ikutlah sebab kalau jual mahal pengunjung tak nak datang. Nak kata murah sangat tu tidak, tapi harga berpatutan.

“Kerana itu Muar banyak kedai emas yang agak murah kerana kami berpandukan harga daripada persatuan,” katanya.

Kelmarin, tinjauan Sinar Harian mendapati emas jenis 916 yang dijual di Kedai Emas Kwang Hee adalah serendah RM185 segram walhal harga pasaran adalah mencecah RM193.

Meskipun menjual dengan sedikit harga rendah, namun pengusaha kedai emas di daerah ini akui tidak berdepan dengan kerugian.

Kata mereka, ia dianggap persaingan sihat sekali gus menjadikan kedai emas di Muar sebagai tumpuan orang ramai.

Ia bukan sahaja dikunjungi oleh penduduk berhampiran, malah kerap kali didatangi pelanggan dari jauh termasuk Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Sanggup datang dari jauh

Meskipun terpaksa meredah lebih 100 kilometer, namun itu bukan penghalang seorang wanita untuk membeli loket emas di Muar.

Siti Hajar Yusof, 43, berkata, dia yang menetap di Kota Masai, Pasir Gudang mengetahui fenomena harga emas berpatutan di daerah ini lantaran berasal dari Parit Amal, di sini.

“Walaupun dah lebih 20 tahun menetap di Pasir Gudang, namun tak pernah nak beli emas di sana sebab tahu harga lebih menguntungkan di Muar.

“Macam hari ini saya dapat beli loket emas untuk anak saya dengan harga RM150 sahaja sedangkan di kedai-kedai lain dah jual dekat RM200,” katanya.

Menurut Siti Hajar, dia juga sudah bercadang untuk membeli barang kemas di sini sebagai perhiasan Aidilfitri nanti.

“Menariknya kedai emas di Muar ini bukan setakat murah, tapi ada promosi menarik pada perayaan-perayaan tertentu. Kalau di Facebook pun turut buat ‘contest’ macam cabaran teka berat emas, nanti hadiah ditawarkan ialah potongan harga emas atau cenderahati sampul raya.

“Itu yang buat saya suka sangat cari barang kemas di sini saja,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pembeli, Mohammad Irwan Md Yusof, 29, akui tertarik dengan cerita dari masyarakat setempat mengenai barang kemas yang dijual murah di daerah ini.

“Saya berasal dari Sungai Petani, Kedah dan menetap di Seremban. Hari ini datang ke Muar sebab bawa anak dan isteri selepas mendengar cakap-cakap orang emas di sini agak murah.

“Saya tinjau memang ada rendah sikit berbanding di kedai lain. Sebagai persiapan raya tu yang kebetulan datang Muar cari barang-barang perhiasan nak dibeli isteri,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nahar Adha Ishak, 32, yang berasal dari Batu Pahat berkata, harga emas di Muar memang tidak asing bagi dirinya. Namun katanya, pelanggan harus bijak mencari kedai bersesuaian dan lebih murah apabila membeli di kedai persendirian.