Kuih peneram Kak Nab bawa tuah

Azizah (dua dari kiri) teruja mempamerkan premis pusat jualan baharu Nab Industri Sdn Bhd di Pusat Bandar Bagan serai yang baharu beroperasi sebulan lalu.
Azizah (dua dari kiri) teruja mempamerkan premis pusat jualan baharu Nab Industri Sdn Bhd di Pusat Bandar Bagan serai yang baharu beroperasi sebulan lalu.
A
A
A

BAGAN SERAI - Perniagaan kuih peneram diungguli NAB Industri Sdn Bhd sejak tahun 2008 ternyata membawa tuah berterusan kepada pemiliknya, Nor Azizah Amri, 46, apabila terpilih menerima anugerah Ikon Usahawan Wanita Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Peringkat Kebangsaan, baru-baru ini.

Lebih manis, anugerah khas berprestij itu diterima Nor Azizah atau lebih dikenali Kak Nab setelah mengenepikan pencalonan lebih 20 usahawan cemerlang lain di bawah bimbingan Kemas dari seluruh negara.

Penolong Pengarah Kemas Perak, Zalina Zainal Abidin berkata, Kak Nab terpilih menerima anugerah diperkenalkan Kemas itu susulan komitmen, kesungguhan, kemajuan dan semangat daya saing ditunjukkannya sejak mulakan perniagaan menjual kuih peneram pada 2008.

Menurutnya, Kak Nab mula ikuti kelas kemahiran anjuran Kemas iaitu Kelas Pendidikan Kesejahteraan Keluarga (PKK) dan dari situ pihaknya melihat potensi keusahawanan ditunjukkan wanita itu untuk dibantu.

“Bermula pemberian bantuan mesin memproses kuih peneram di bawah skim Bantuan Ekonomi Kampung (BEK) bernilai RM8,000 untuk meningkatkan pengeluaran produk, Kak Nab langsung tidak berpaling ke belakang dan berjaya memastikan perniagaannya berkembang sepanjang masa sehingga berjaya.

“Apabila perniagaan semakin berkembang, Kak Nab masih komited menerima bantuan khidmat nasihat pihak kami dan tidak pernah menolak peluang perniagaan diberikan melalui program Karnival Usahawan Desa (KUD) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar bermula 2009 hingga tahun ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Zalina berkata, melalui pemberian anugerah itu, Kak Nab bakal jadi ikon usahawan sempena Program Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (Wins) bagi mencurahkan pengalaman dan resipi kejayaan perniagaannya kepada usahawan wanita lain yang berpotensi di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Azizah (dua dari kiri) menerima plak cenderahati anugerah Ikon Usahawan Wanita Kemas Kebangsaan WINs 2019 yang disampaikan Rina (dua dari kanan) di Losong, Terengganu minggu lalu.
Azizah (dua dari kiri) menerima plak cenderahati anugerah Ikon Usahawan Wanita Kemas Kebangsaan WINs 2019 yang disampaikan Rina (dua dari kanan) di Losong, Terengganu minggu lalu.

Menurutnya, di Perak, Kemas menjangkakan hampir 200 usahawan meliputi pelbagai program diketengahkan jabatan itu seperti bidang masakan, jahit, dandanan diri dan salon kini menampakkan potensi untuk berjaya dalam bidang perniagaan diceburi sebagaimana dikecapi Kak Nab.

“Sehingga kini, Kemas Perak sudah melahirkan 700 usahawan yang berjaya dalam pelbagai bidang ditawarkan kursus oleh jabatan kami,” katanya.

Sementara itu, Kak Nab sewaktu ditemui tidak menyangka terpilih sebagai Ikon Usahawan Wanita Kemas Kebangsaan dan menerima plak anugerah disampaikan sendiri Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun di Losong, Terengganu baru-baru ini.

Menurutnya, pihaknya berbangga menerima anugerah julung kali diperkenalkan Kemas, meskipun berdepan cabaran sengit lebih 20 usahawan hebat dari seluruh negara. “Saya yakin kejayaan ini berkat usaha gigih dan tidak berputus asa saya terhadap perniagaan kuih peneram dan kuih bahulu diusahakan sejak 11 tahun lalu meskipun berhadapan pelbagai cabaran dan rintangan sehingga hampir menyebabkan NAB Industri Sdn Bhd gulung tikar.

“Terima kasih dan penghargaan besar kepada Kemas Parlimen Bagan Serai yang sangat banyak memberikan bimbingan dan sokongan terhadap perniagaan saya selama ini,” katanya.

Enggan berpaling ke belakang, Kak Nab terus komited meluaskan lagi sayap perniagaannya dengan membuka satu pusat jualan baharu di Jalan Raja Syed Tauphy 2, Pusat Bandar Bagan Serai berdekatan Kolej Komuniit Bagan Serai, di sini sejak sebulan lalu.

“Pembukaan premis itu dijangka mampu tingkatkan lagi pengeluaran dan penjualan kuih peneram saya. Pada masa sama saya turut merancang untuk perbesarkan lagi premis memproses produk peneram dan bahulu sedia ada di Parit Husin,” katanya.