Lang Merah benam Kuala Lumpur di Darul Aman

Shakir dipeluk Farhan selepas menjaringkan gol kedua tuan rumah.- Foto: Ahmad Zaki Osman
A
A

KEDAH kembali mempamerkan corak permainan menyakinkan apabila kenduri gol menjinakkan Kuala Lumpur 5-2 pada aksi ke-12 Liga Super 2019 di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Pada 10 minit awal pertama, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan yang berhati-hati apabila bola banyak berlegar di tengah padang.

Penyerang pelawat, Ashri Chuchu hampir meletakkan pasukan itu di hadapan namun percubaan derasnya sekadar singgah di tiang gol Kedah pada minit ke-20.

Bagaimanapun Jonathan Bauman terlebih dahulu meletakkan Kedah di hadapan 1-0 selang seminit kemudian selepas berjaya mengelirukan penjaga gol Kuala Lumpur, Sharbinee Allawee Ramli hasil umpanan yang dilakukan oleh Renan Alves.

Tuan rumah yang tekad untuk terus menambah gol berhasil melakukannya pada minit ke-40 hasil tandukan Shakir Hamzah untuk kedudukan 2-0.

Shakir mudah menjaringkan gol tersebut selepas menerima hantaran Farhan Roslan yang cantik menguis bola melangkaui jangkauan Sharbinee.

Namun Kuala Lumpur berjaya merapatkan jurang kepada 2-1 pada masa kecederaan separuh masa pertama menerusi penyerang profilik, Indra Putra Mahyudin hasil kesilapan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim.

Kejayaan merapatkan kedudukan berjaya meningkatkan semangat pelawat untuk memburu gol penyamaan dan mereka berpeluang melakukan pada minit ke-52 menerusi Paulo Josue namun percubaan sepakan percuma melepasi palang gol Kedah.

Lang Merah terus memberi tekanan kepada skuad kendalian Chong Yee Fatt apabila menambah gol ketiga untuk kedudukan 3-1 pada minit ke-67 hasil tandukan Fernando Rodriguez yang menerima umpanan Zaquan Adha Abd Razak.

Kuala Lumpur tidak mengaku kalah apabila kembali bangkit merapatkan kedudukan kepada 3-2 menerusi Guilherme De Paula yang tidak mensia-siakan hantaran Ryutaro Karube pada minit ke-77.

Terkejut dengan jaringan tersebut, Kedah kembali mengandakan asakan dan kembali menjarakkan kedudukan kepada 4-2 selang tiga minit kemudian hasil jaringan Rodriguez yang mudah menolak bola ke dalam gol selepas menerima hantaran Bauman.

Tuan rumah menutup malam gemilang dengan keputusan 5-2 menerusi jaringan Bauman yang berjaya memanfaatkan hantaran menarik ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-89.