SPR ulas isu penurunan gegantung PBS

Azhar Azizan Harun - Foto sumber internet
Azhar Azizan Harun - Foto sumber internet
A
A
A

SANDAKAN - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengulas mengenai dakwaan bahawa SPR telah menurunkan gegantung parti Parti Bersatu Sabah (PBS) semalam.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, satu laporan polis telah dibuat pada 1 Mei lepas, berkaitan isu gegantung yang didakwa mengandungi kenyataan berunsurkan penghinaan dan provokasi terhadap parti DAP.

“Berikutan laporan tersebut, pihak polis telah membuka satu kertas siasatan, dan melantik pegawai penyiasat kes untuk menyiasat kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.

“Gegantung tersebut telah diturunkan, dengan kehadiran anggota Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR), untuk disimpan pihak polis sebagai barang kes,” katanya.

Gegantung di Batu 3 di sini memaparkan wajah Menteri Kewangan Lim Guan Eng dengan tulisan dalam Bahasa Cina, mendakwa Lim tidak akan membangkitkan isu kekurangan parkir di Hospital Duchess of Kent di sini, jika calon DAP Vivian Wong Tien Fatt tewas pada PRK itu pada 11 Mei ini.

Timbalan Presiden PBS Datuk Yee Moh Chai, mempertahankan bahawa gegantung itu tidak menyalahi peraturan PRK.

Ketua Polis Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin pula berkata, polis sedang dalam proses menyiapkan dan menyegerakan siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, berhubung isu itu selepas polis menerima laporan pada 1 Mei lepas berkaitan gegantung itu.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Artikel Disyorkan