Nafi poster program kerajaan negeri

Gambar gegantung dalam bahasa Cina yang tular mencetuskan kontroversi di media sosial mengaitkan program dengan kerajaan negeri.
Gambar gegantung dalam bahasa Cina yang tular mencetuskan kontroversi di media sosial mengaitkan program dengan kerajaan negeri.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak nafi terlibat dalam program anjuran Pusat Pembangunan Modal Insan Perak (PHCDC) seperti dakwaan pihak tertentu melalui penyebaran gambar gegantung bahasa Cina yang tular di media sosial.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee berkata, disebabkan gegantung tertera Jata Kerajaan Perak, pelbagai tohmahan dibuat di media sosial yang bersifat perkauman dan fitnah menyalahkan kerajaan negeri.

"PHCDC bukanlah sebuah badan berkanun atau agensi kerajaan di mana-mana peringkat negeri atau kebangsaan.

"Aktiviti yang dipromosikan dalam gegantung tersebut bukanlah program anjuran kerajaan negeri walaupun menggunakan Jata Negeri Perak.

"Perkara ini telah dirujuk kepada pihak pengurusan PHCDC untuk dibuat pembetulan," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gegantung berbahasa Cina yang tular di media sosial mengaitkan kerajaan negeri terhadap penganjurannya.

Menurut Howard, pihak PHCDC juga tidak menerima sebarang geran atau peruntukkan kewangan yang tetap daripada kerajaan negeri.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa gegantung bahasa Cina tersebut merupakan satu poster sampingan bagi salah satu acara yang sedang dipromosikan malah terdapat 30 gegantung promosi dalam bahasa Melayu.

Artikel Berkaitan:

Secara umumnya, Kerajaan Perak menyambut baik usaha pembangunan belia oleh semua pihak termasuklah PHCDC dan akan terus berkerjasama di mana adanya peluang bagi meningkatkan kesiapsiagaan belia di negeri Perak.

"Kerajaan negeri juga akan menegur PHCDC tentang penggunaan Jata Negeri Perak dalam bahan iklan yang bukan merupakan acara rasmi kerajaan negeri.

Kerajaan negeri juga berharap agar insiden ini tidak berulang lagi," katanya.

Dalam pada itu, Howard menasihati pihak pembangkang khususnya pemimpin UMNO supaya tidak gelojoh menjadikan isu bahasa seperti itu sebagai serangan politik murahan.