Kerajaan digesa wujud jawatan Menteri Hal Ehwal Sarawak

Ding Kuong Hiing
Ding Kuong Hiing
A
A
A

KUCHING - Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak menggesa kerajaan Persekutuan mewujudkan jawatan Menteri Hal Ehwal Sarawak dalam semangat sebenar status rakan setara antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Ding Kuong Hiing (GPS-Meradong) berkata ini akan membolehkan Menteri Hal Ehwal Sarawak mempunyai kata putus dalam semua perkara di peringkat Persekutuan sama ada yang berkaitan atau memberi kesan terhadap Sarawak.

“Baru-baru ini terdapat suara di peringkat akar umbi menggesa supaya diadakan pungutan suara membabitkan perkara yang paling utama kepada hak dan kepentingan Sarawak, khususnya dalam perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63) dan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau membahaskan usul terima kasih atas ucapan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Sementara itu, Datuk Tiong Thai King (GPS-Dudong) memuji langkah kerajaan negeri Sarawak untuk menjadi negeri pertama melaksanakan pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris bagi pelajar sekolah rendah tidak lama lagi.

Sebagai tambahan, beliau berkata MA 63 memperuntukkan dan membenarkan penggunaan bahasa Inggeris dalam sidang DUN, mahkamah, dan Kabinet negeri di Sabah serta Sarawak.

“Sungguhpun proses pelaksanaan bahasa Inggeris semestinya merupakan suatu tugas yang getir, kami berharap dengan usaha bersepadu kerajaan negeri dan Persekutuan, ia akan membuahkan kejayaan bagi pembangunan modal insan kita,” katanya.

Datuk Amar Jamilah Anu (GPS-Tanjong Datu), dalam perbahasannya, menyentuh tentang perkara berkaitan keselamatan terutamanya di sepanjang sempadan Sarawak-Kalimantan dalam kawasan pilihan rayanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata apabila siap lebuhraya Sematan-Telok Melano (Pan Borneo), terdapat banyak peluang untuk sempadan diceroboh, sama ada melalui darat atau laut, menerusi Taman Negara Tanjong Datu.

“Sehubungan itu, saya menggesa pihak berkuasa yang berkaitan, Majlis Keselamatan Negeri, untuk membangkitkan perkara ini kepada rakan sejawatan mereka di peringkat Persekutuan, supaya perkara berhubung keselamatan sempadan ini ditangani serta-merta,” katanya.- Bernama