Kementerian Pendidikan nafi tuduhan kitar semula

Dakwaan 'Pasukan De Facto DAP' terhadap Kementerian Pendidikan yang tular dalam laman sosial Facebook hari ini.
Dakwaan 'Pasukan De Facto DAP' terhadap Kementerian Pendidikan yang tular dalam laman sosial Facebook hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan memandang serius dakwaan 'Pasukan De Facto DAP' yang tular dalam laman sosial Facebook mengatakan kementerian ingin 'hijack' atau mengubah subjek Sejarah peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah.

Menurut kenyataan kementerian, dakwaan tersebut merupakan tuduhan liar yang dikitar semula dan berunsur fitnah meskipun Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching pernah memperjelaskan perkara berkenaan pada 23 Disember tahun lalu.

"Kurikulum kebangsaan termasuk subjek Sejarah akan terus kekal melainkan, jika ada cadangan atau saranan baharu daripada Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) dan Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKD).

"MPPK dan JKD sedang dalam proses menjalankan kajian dan mendapatkan input daripada pelbagai pihak berkepentingan berhubung cadangan serta syor penambahbaikan menyeluruh ke atas sistem pendidikan Malaysia termasuk aspek sistem dan dasar pendidikan kebangsaan.

"Direkodkan, semakan semula bagi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) tekah dilaksanakan pada tahun 2017, sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 yang mana kementerian mengambil usaha berterusan menambah baik kurikulum sedia ada untuk semua mata pelajaran," katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook rasmi Kementerian Pendidikan hari ini.

Sementara itu, pihak kementerian turut memaklumkan Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah (Panel Pakar Rujuk) telah dibentuk pada dua tahun lalu.

Kurikulum Sejarah bagi KSSR (Semakan 2017) Tahun 4 hingga Tahun 6 dan KSSM Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 telah selesai disemak oleh Panel Pakar Rujuk.

Ini termasuklah, buku teks Sejarah KSSR Tahun 4 hingga Tahun 6 dan KSSM Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 telah selesai disemak dari segi pengesahan fakta pada tahun lalu manakala buku teks KSSR (Semakan 2017) Tahun 4 dan KSSM Tingkatan 4 masih dalam proses penerbitan.

Artikel Berkaitan:

"Kementerian yakin dengan kebijaksanaan dan kewibawaan Pengerusi dan barisan Panel Pakar Rujuk keputusan berkenaan penggubalan dan penambahbaikan kurikulum Sejarah dilakukan secara profesional tanpa dipengaruhi mana-mana pihak," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, kementerian juga menepis dakwaan bahawa pegawai-pegawai yang sedia ada di Unit Sejarah telah digantikan dengan pegawai baharu yang tidak berlatarbelakangkan sejarah.

"Untuk maklumkan, tiada sebarang pertukaran pegawai dilaksanakan sejak tahun 2017 dan sehingga kini sistem dan dasar pendidikan sedia ada masih kekal," tegasnya.