Peningkatan kes denggi mendadak di Kuching

kes denggi
kes denggi
A
A
A

KUCHING - Bahagian Kuching mencatat peningkatan kes demam denggi secara mendadak dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Pegawai Kesihatan Bahagian Kuching, Dr Azlee Ayub berkata bagi tempoh Januari hingga April tahun ini, sebanyak 159 kes demam denggi dilaporkan di bahagian Kuching berbanding 11 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Bagaimanapun, belum ada kes yang melibatkan kematian dilaporkan tahun ini.

“Peningkatan kes denggi ini amat membimbangkan terutama jika melibat kematian dan kita perlu berusaha dengan lebih gigih bagi memastikan keadaan berisiko ini dapat dicegah awal,” kata beliau ketika berucap pada penutupan Program “Community Outreach” pencegahan zika dan Penyakit Bawaan Vektor 2019 di SK Gersik di sini, hari ini.

Program ini adalah inisiatif Kedutaan Amerika Syarikat melalui kerajaan pusat dengan menyediakan dana kepada Kementerian Kesihatan Malaysia bagi projek pencegahan dan kawalan zika di peringkat Asia Pasifik.

Menurut Dr Azlee, penyakit demam denggi, zika dan chikungunya dibawa oleh punca vektor yang sama, iaitu nyamuk aedes.

Beliau berkata semakin tinggi populasi nyamuk aedes maka semakin tinggi risiko penduduk terdedah, bukan sahaja kepada jangkitan demam denggi tetapi juga penyakit zika dan chikugunya.

Menurut Dr Azlee lagi, kejadian penyakit akibat nyamuk aedes lebih kepada isu atau masalah kebersihan persekitaran rumah.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau mengajak masyarakat agar meluangkan masa 10 minit dalam seminggu untuk membersihkan kawasan rumah dan dan persekitaran untuk memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes.

Sementara itu, Dr Azlee telah mengesahkan kematian seorang pelajar sebuah universiti di Kota Samarahan minggu lepas adalah akibat serangan penyakit Japanese Encephalitis (JE).

Katanya, pelajar terbabit dijangkiti penyakit berkenaan pada tahun lepas, tetapi meninggal minggu lepas.- Bernama