PH gagal, Pas beri markah bawah 20

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
A
A
A

MARANG - Pas memberikan markah di bawah 20 terhadap prestasi keseluruhan kerajaan PH sepanjang setahun memerintah negara apabila berjaya mengambil alih kerajaan selepas PRU14.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PH bukan sahaja gagal untuk menunaikan janji dalam manifesto PRU14, bahkan tidak banyak perubahan yang dilakukan dalam tempoh tersebut serta lebih bergantung kepada inisiatif dibuat BN.

"Mereka (PH) ikut belakang sahaja sebab itu tidak banyak perubahan dibuat dan terlalu awal dalam masa setahun ini kita nak beri markah kepada mereka. Setahun adalah masa yang singkat namun kita saksikan janji manifesto itu terlalu cepat nak buat itu ini.

"Tetapi tak berlaku macam janji mereka termasuk yang segera nak dibuat tapi tidak dibuat. Markah masih tidak berjaya, tak lulus. Bawah daripada 20. Dapat disaksikan bagaimana PRK (sebelum ini) merosot. Bukan sahaja orang Melayu tapi kaum lain pun tak keluar mengundi, itu protes," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta menilai prestasi PH ketika ditemui media di kediamannya selepas kuliah Jumaat di Masjid Rusila di sini hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, kerajaan PH perlu insaf jika mahu mengembalikan keyakinan rakyat dan jangan hanya tahu menabur janji semata-mata untuk mendapatkan undi.

Dalam pada itu, beliau memuji ketokohan kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mentadbir negara namun kelemahan barisan menteri kabinet sering menimbulkan masalah.

"Saya lihat Dr Mahathir seorang yang berpengalaman kerana sudah lama jadi perdana menteri dan sudah menaikkan kedudukan Malaysia ke persada antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

"Apa saya nak ulangi ialah menteri kabinet yang lemah, yang tiada pengalaman dan ini menjadi masalah kepada PM," katanya.