Apakah benar kita memilih kerja

A
A
A

BEKERJAlAH walaupun gaji sedikit sebab itu lebih baik daripada tiada gaji langsung. Itu nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau mengulas keengganan rakyat Malaysia melakukan pekerjaan kotor, sukar dan bahaya (3D).

Dalam ucapannya sempena Hari Pekerja beliau mengulas mengenai peningkatan pekerja asing di negara ini. Kata Perdana Menteri: “Kehadiran pekerja asing di negara ini berpunca daripada keengganan kita melakukan kerja tertentu, walaupun kita mampu berbuat demikian.”

Sebenarnya orang kita tahu ini, tetapi mereka masih tidak suka kerja 3D. Mereka lebih rela menganggur daripada memetik kelapa sawit. Lebih suka merempit dan mengambil dadah daripada menjadi pekerja di restoran.

Sepatah kata Dr Mahathir: “Akhirnya, mereka (pendatang asing) akan menjadi kaya dan kita pula kekal atau menjadi miskin.”

BERCAKAP mengenai kerja, kadangkala yang memilih kerja bukan orang muda, tetapi ibu bapa mereka sendiri.

Ada ibu bapa yang tidak menggalakkan anak menjadi pemetik kelapa sawit atau sebagai buruh binaan. Ada yang melarang anak bekerja di restoran.

Alasan mereka: anak lulus universiti, ada ijazah yang hebat. Mereka belajar bertahun-tahun, habis banyak duit, mana boleh jadi kuli? Lulus ijazah mana mungkin jadi penjual apam balik atau jual nasi lemak.

Artikel Berkaitan:

Tahukah mereka ada yang memiliki ijazah hebat, tetapi rela melakukan kerja-kerja 3D, akhirnya berjaya? Tahukah mereka ada yang menjual nasi lemak tetapi memperoleh pendapatan bulanan RM puluhan ribu?

TAHNIAH kepada Universiti Malaya (UM) yang menjadi universiti tempatan pertama tersenarai dalam kelompok 40 universiti terbaik di Asia.

Dalam penarafan terbaharu yang dikeluarkan oleh badan penilai pencapaian universiti seluruh dunia, Times Higher Education (THE), UM berada pada kedudukan 38, daripada 46 tahun lepas, dalam kalangan lebih 400 universiti Asia.

Universiti tempatan lain dalam senarai tersebut ialah Universiti Teknologi Petronas pada kedudukan 98 dalam senarai Asia, Universiti Tunku Abdul Rahman (111), Universiti Teknologi Malaysia (125) dan Universiti Sains Malaysia pada kedudukan (150).

Tetapi majoriti universiti yang berada pada kedudukan 10 teratas terletak di China, termasuk Universiti Tsinghua merampas kedudukan teratas daripada Universiti Nasional Singapura, yang berada di tempat ke-2 Asia dan ke-23 dunia.

Bila agaknya universiti kita hendak mencapai dan mengatasi universiti di Singapura?

SEJAK seminggu dua yang lalu, kita mula mendengar lagu mersik suara dan bisikannya yang menggoda itu.

Kita melihat lagi seraut wajahnya yang sebahagian besar ditutup, tetapi matanya bersinar mempesona dan menggegar perasaan.

Wanita bertutup wajah ala Timur Tengah itu berbisik berulang kali. mengungkapkan kata-kata yang sama, irama yang sama: “Yusuf Taiyoob...”

Melihat wajah tertutup dengan mata bersinar dan mendengar bisikan yang menggoda itu, tahulah kita bahawa Ramadan telah tiba. Insya-Allah kita mula berpuasa Isnin ini. Selamat berpuasa!

SEPERTI tahun-tahun sebelumnya, Ramadan al-Mubarak disambut dengan penuh kesyahduan, sekali gus kepiluan.

Kita bersyukur kerana masih diberi kesempatan bertemu semula Ramadan kali ini – mungkin yang terakhir! – dan dapat melakukan amalan-amalan sepanjang hari dan malam.

Dalam kesyukuran itu tentu ada rasa kehilangan apabila orang-orang tersayang yang dahulu berbuka puasa dan bertarawih dengan kita, tahun ini sudah tiada.

Takziah buat mereka yang ditinggalkan, khasnya buat keluarga Allahyarham Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz, yang dijemput ALLAH beberapa hari sebelum kedatangan Ramadan. Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang soleh...

AKHIR kalam, tahniah kepada Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang dilantik sebagai Ketua Polis Negara, menggantikan Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan secara kontrak selama dua tahun itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Ia dibuat di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan. Tabik Tuan!

TOK PERAK