Kelemahan Kerajaan Selangor semakin ketara: Sallehen

 Sallehen Mukhyi
Sallehen Mukhyi
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri jelas tidak berupaya dan berkemampuan untuk mentadbir dan mengurus negeri dengan baik.

Ini dapat dilihat berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor baru-baru ini.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi berkata, pegawai berkenaan dengan tiada sedikit rasa bersalah menyatakan kerajaan negeri tidak terbeban membayar hutang kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk pembelian Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) sejumlah RM1.9 bilion.

"Bayaran tersebut 10 kali ganda daripada tawaran asal dan alasan beliau kerana bayaran balik dibuat dalam jangka masa panjang.

"Beliau juga berkata kerajaan negeri telah membelanjakan sejumlah RM628 juta melalui program kebajikan IPR, iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada dana yang dikeluarkan untuk MES ketika Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memegang jawatan menteri besar," katanya.

Katanya, persoalannya adakah beliau akan juga bangga apabila rezab kerajaan negeri semakin menurun sejak 2015.

"Laporan tahunan Akauntan Negara jelas menunjukkan prestasi kewangan kerajaan negeri mengikut Baki Wang Yang Disatukan menurun secara sistematik iaitu RM3.2 bilion (2014), RM3.25 bilion (2015), RM3.051 bilion (2016) dan RM2.82 bilion (2017).

"Adakah beliau bangga bahawa kerajaan negeri mengakhiri tahun kewangan 2017 dengan defisit pada Akaun Hasil Disatukan berjumlah RM368.56 juta berbanding defisit pada tahun 2016 berjumlah RM144.66 juta dengan peningkatan sejumlah RM223.90 juta (154.8%)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mengikut laporan Akauntan Negara, ini telah disebabkan kesan daripada peningkatan perbelanjaan sejumlah RM534.34 juta (20.2%) melebihi peningkatan hasil sejumlah RM310.44 juta (12.4%).

"Dengan mengambil kira defisit ini, baki terkumpul Akaun Hasil Disatukan tahun 2017 berkurangan menjadi RM1.08 bilion berbanding RM1.45 bilion pada tahun 2016.

"Kerajaan yang berkebolehan serta bertanggungjawab tidak akan membelanjakan wang dengan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan keperluan pada masa hadapan, serakah politik PH untuk memenangi PRU14 yang lalu adalah begitu besar dan akhirnya rakyat yang menjadi mangsa," katanya.

Sallehen berkata, alasan kononnya pembelian Splash merupakan pinjaman jangka panjang adalah alasan dangkal dan tidak bertanggungjawab.

"Apa yang pasti, bayaran tetap perlu dibuat kepada SPAN dan akan berterusan selama 9 tahun lagi, alangkah baiknya jika dana yang digunakan membayar hutang ini digunakan untuk membiayai program-program kebajikan untuk rakyat.

"Saya yakin rakyat tidak lupa bahawa pembelian Splash pada harga 10 kali ganda lebih tinggi akan menjejaskan program air percuma 20 meter kubik yang diberi kepada semua rakyat, serta kenaikan tarif air yang lebih tinggi daripada yang dirancangkan," katanya.

Katanya, rakyat juga pasti tahu aset berkaitan air milik kerajaan negeri yang bernilai RM2 bilion sebelum ini telah dipajakkan kepada SPAN dan bagi mendapatkan pinjaman membeli Splash pada harga 10 kali ganda tersebut akan menyebabkan kerajaan negeri perlu membayar sewa pada kadar lebih tinggi dan tempoh yang lama.

"Malah pasti terdapat terma dan syarat-syarat baharu yang ditetapkan di dalam perjanjian di antara PAAB dan Air Selangor.

"Paling mengewakan, perancangan memberi saham syarikat air milik kerajaan negeri kepada rakyat tidak lagi boleh diteruskan. Mereka tiada kemampuan dan kebolehan untuk melaksanakan impian rakyat yang memberi mandat kepada mereka," katanya.

Terdahulu 2 Mei lalu, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah menyangkal tuduhan kononnya Kerajaan Selangor membayar 10 kali lebih banyak daripada nilai yang sepatutnya kepada pemegang konsesi Splash.

Tuduhan tersebut dinyatakan oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di dalam laman Facebooknya, 27 April lalu.

Borhan berkata, pengambilalihan Splash dibiayai oleh Pengurusan Aset Air Berhad, sebuah agensi Kerajaan Persekutuan dengan jumlah RM1.9 bilion dan Air Selangor dengan jumlah RM650 juta melalui bayaran ansuran tahunan untuk tempoh selama sembilan tahun.

"Pengambilalihan ini tidak membabitkan apa-apa peruntukan kewangan dari dana Kerajaan Selangor dan telah distrukturkan dengan pembayaran secara jangka panjang," katanya.