Bina pangkalan hadapan elak pencerobohan

AHMAD AMZAD
AHMAD AMZAD
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan disarankan membina sebuah pangkalan hadapan di Laut China Selatan sebagai langkah mengatasi pencerobohan besar-besaran warga asing ke kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, sebuah pangkalan laut hadapan dilihat sebagai keperluan bagi memperkukuhkan kehadiran penguat kuasa dan mempercepatkan respon tindakan.

“Tidak dinafikan, kejayaan KM Pekan yang telah dapat menahan enam buah bot Vietnam pada kedudukan 150 kilometer dari timur laut Kuala Terengganu, baru-baru ini membuktikan pangkalan hadapan adalah satu keperluan.

“Bukan itu sahaja, ia juga bagi mengawal keselamatan pekerja pelantar minyak Malaysia kita ekoran kecenderungan nelayan asing ini menangkap ikan berhampiran lokasi pelantar minyak,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Amzad turut menyarankan Kerajaan Persekutuan bekerjasama dengan Petronas bagi membina pangkalan hadapan laut secara perkongsian dan guna sama untuk agensi seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Untuk memastikan kos yang efisien, Kerajaan Persekutuan boleh menjadikan model pembinaan Pengkalan Laut Tun Sharifah Rodziah di Timur Sabah oleh Petronas bagi pembinaan pangkalan Laut China Selatan.

“Selain itu, Kerajaan Persekutuan juga boleh bekerjasama dengan syarikat-syarikat pengeluar minyak yang lain untuk menambah baik aset kawalan keselamatan negara.

“Cukuplah kejadian pencerobohan warga asing dalam perairan negara dan mengaut hasil mahsul negara ini. Langkah segera perlu dilakukan demi menjaga kedaulatan negara kita,” katanya.

Artikel Berkaitan: