Unit rumah tidak terjual di Pulau Pinang menurun

Jagdeep Singh Deo
Jagdeep Singh Deo
A
A
A

GEORGETOWN - Jumlah unit rumah tidak terjual di Pulau Pinang mencatatkan penurunan sebanyak 414 unit iaitu 3,502 unit bagi tahun lalu berbanding 3,916 pada 2017.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo berkata, laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan, selain Pulau Pinang, Kedah juga menunjukkan penurunan iaitu 3,311 pada tahun lalu berbanding 3,783 bagi 2017.

Menurutnya, bagaimanapun, Johor, Perak dan Selangor menunjukkan peningkatan yang mana, Perak adalah yang paling ketara dengan peningkatan sebanyak 3,091 unit pada tahun lalu.

"Walaupun isu unit tidak terjual ini membelenggu Pulau Pinang dan beberapa bandar utama lain, saya gembira apabila kita dapat menguruskan unit-unit ini. Apa yang penting, kita akan berusaha untuk tidak menaikkan jumlah unit ini secara mendadak.

"Ini kerana, ada beberapa negeri dilihat mengalami peningkatan mendadak sehingga 200 hingga 300 peratus antaranya Johor. Negeri itu memperlihatkan unit rumah tidak terjual naik setiap tahun," katanya pada sidang media di Dewan Sri Pinang hari ini.

Jagdeep (DAP- Datuk Keramat) berkata, berdasarkan laporan NAPIC, Johor menunjukkan peningkatan dengan 4,376 unit pada 2017 berbanding 6,066 unit pada 2018; Perak 2,276 unit (2017) dan 5,367 unit (2018) serta Selangor 3,713 unit (2017) dan 4,693 unit (2018).

"Senarai itu menunjukkan Pulau Pinang mempunyai tarikan hartanah dan pelaburan. Pulau Pinang kekal sebagai tempat pelaburan yang sangat menarik untuk hartanah.

"Saya meminta semua rakyat Malaysia datang ke Pulau Pinang untuk pelaburan hartanah. Ini adalah satu perubahan yang mana negeri lain mengalami peningkatan unit rumah tidak terjual tetapi Pulau Pinang adalah sebaliknya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Jagdeep berkata permohonan kerajaan negeri untuk menaik taraf Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kepada majlis bandaraya dijangka akan dibentangkan kepada Kabinet seawal-awalnya bulan ini.

Beliau berkata permohonan itu telah diserahkan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.