Dua lelaki ditahan bersama syabu

45e
A
A

KUALA LUMPUR - Kegiatan pengedaran dadah jenis syabu di beberapa kawasan sekitar Lembah Klang tumpas apabila pihak polis menahan dua lelaki dan merampas dadah dipercayai jenis syabu seberat lebih 1 kilogram, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, kedua-dua lelaki tempatan berumur antara 24 hingga 33 tahun itu ditahan sepasukan polis dalam satu operasi khas di Brickfield.

"Sekitar jam 9.40 malam tadi, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Kuala Lumpur bertindak atas maklumat dalam satu operasi khas telah menahan kedua-dua suspek di tepi Jalan Vivekananda.

"Hasil pemeriksaan, kita telah merampas dadah disyaki syabu anggaran berat 1004 gram bernilai kira-kira RM50,000. Jumlah itu boleh dibekalkan kepada lebih kurang 1000 pengguna dalam pengedaran.

"Hasil siasatan mendapati suspek bergiat aktif dalam pengedaran syabu di kawasan Kuala Lumpur dan Lembah Klang," katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.