Padah dera anjing peliharaan

Lai Woan Yong didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini, kerana mendera anjing peliharaanya tahun lalu.
Lai Woan Yong didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini, kerana mendera anjing peliharaanya tahun lalu.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Seorang ahli perniagaan wanita didenda RM4,000 kerana mendera anjing peliharaanya selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini.

Woan Yong, diperintah membayar denda RM4,000 oleh Hakim Norma Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, dia yang mengusahakan perniagaan perabot didakwa menyebabkan kesakitan serta menyebabkan penderitaan tidak wajar kepada anjing jantan kacukan berwarna coklat kehitaman dan anjing betina kacukan berwarna hitam pada jam 10.20 pagi, 28 Jun 2018, dalam kawasan pagar hadapan dan belakang rumahnya di Taman Merdeka, Batu Berendam Melaka.

Sebelum itu, Pegawai Veterinar Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Melaka, Dr Tuan Ajmal Tuan Kamaluddin bersama tujuh lagi penguat kuasa melawat lokasi selepas menerima aduan mengenai pengabaian binatang di kediaman wanita itu.

Setiba dilokasi, pasukan terbabit memasuki kawasan berpagar dan mendapati seekor anjing berwarna coklat di hadapan rumah dalam keadaan dirantai, tidak bermaya dan terlalu kurus selain banyak kutu di badan dipercayai tidak diurus dengan baik.

Siasatan lanjut ke belakang rumah pula, mendapati seekor lagi anjing tidak berantai dalam keadaan lemah dan tidak aktif, terlalu kurus, selain mengalami penyakit kulit serta mata kirinya bengkak.

Oleh itu, Dr Tuan Ajmal bertindak sebagai pengadu, mengarahkan pihak berkuasa veterinar membuat rampasan, iaitu seekor anjing jantan dan seekor anjing betina dan satu laporan polis juga dibuat.

Woan Yong didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 44 (1)(d) Akta Binatang 1953 (Akta 647)(Semakan 2006) dibaca bersama Akta Binatang (Pindaan) 2013(Akta A1452).

Artikel Berkaitan:

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda hingga RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili Peguam Sia Sin Yee merayu hukuman terhadapnya diringankan dengan alasan perlu menanggung bebanan hutang perusahaan perabot miliknya, selain menyara ayah yang uzur serta seorang anak perempuan berusia 10 tahun seorang diri selepas ditinggalkan suaminya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa JPV Melaka, Raja Mazlan Raja Mamat memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan memohon kos rawatan kedua-dua haiwan malang itu berjumlah RM721 yang dibayar kepada jabatan terbabit.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Norma kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,000 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh membayar kos rawatan haiwan tersebut sebanyak RM721 kepada JPV dan kedua-dua anjing itu dipulangkan semula kepada tertuduh.