MOF kekalkan sasaran KDNK 4.9 peratus bagi 2019

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

KEMENTERIAN Kewangan mengekalkan unjuran pertumbuhan semasa 4.9 peratus bagi negara untuk tahun ini, walaupun Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Nikkei menunjukkan kemungkinan peningkatan 5.2 peratus pada 2019.

Menteri, Lim Guan Eng berkata kementerian menyambut baik bacaan PMI terkini bagi Malaysia itu, yang meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh tujuh bulan, iaitu 49.4 mata pada April 2019 daripada 47.2 mata ketika bulan sebelumnya.

Prestasi PMI pada April itu didorong oleh, antara lain, pertambahan tempahan eksport, pertumbuhan pekerjaan, pelaburan bagi jentera dan kilang baharu, serta keyakinan perniagaan yang lebih baik susulan kepastian dan kejelasan dasar di bawah agenda pembaharuan kerajaan.

“Pertumbuhan mampan berterusan itu membuktikan langkah pemulihan semasa dan usaha pembangunan yang dilaksanakan oleh pentadbiran Pakatan Harapan mencapai hasil seperti dirancangkan.

“Kerajaan akan meneruskan usaha untuk menambah baik kebajikan rakyat melalui tumpuan mencapai pertumbuhan berkualiti tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nikkei, keyakinan perniagaan pada April juga berada pada tahap tertinggi seperti yang pernah direkodkan pada Oktober 2013.

Pertambahan pelaburan baharu pula merupakan kesan langsung daripada keupayaan kerajaan dalam meningkatkan pelaburan langsung asing diluluskan, iaitu sebanyak 48 peratus kepada RM80.5 bilion pada 2018 daripada RM54.5 bilion pada 2017. -Bernama

Artikel Berkaitan: