Terkejut tindakan Rosol

Din
Din
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Timbalan Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Din Adam terkejut dengan tindakan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid yang mengumumkan keluar Umno, hari ini.

Menurutnya, Rosol disifatkan sebagai seorang yang berprinsip dan masih sayangkan Umno walaupun ada ura-ura dia akan keluar parti beberapa bulan yang lalu.

Malah katanya, Rosol tidak menyatakan hasrat untuk keluar parti sewaktu berjumpa dengan rakan baiknya itu dua hari lalu, namun mengakui Rosol ada melahirkan rasa tidak senang dengan Umno dan kepimpinan parti.

“Kalau dia rasa tidak senang, bagi saya itu hak peribadi kerana kita ada hak kita. Sekarang ini tiba-tiba pula hari ini (umum keluar), saya tidak tahu. Dua hari lepas saya baharu minum pagi dengan dia dan dia tidak sebut.

“Tapi bagi saya, itu hak masing-masing tetapi berkait dengan prinsipnya sebelum ini, tidak kenalah.

“Prinsipnya kalau berpaksikan parti dan dipilih oleh ahli parti, kita kena bertanggungjawab kepada parti. Walau apa pun cerita, tidak ada peruntukan dan sebagainya, itu perkara yang berbeza. Undi datang daripada parti, kerana parti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sementara itu diminta mengulas mengenai Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang dikatakan akan mengambil haluan sama, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak boleh komen tapi adalah rakan-rakan yang cuba menghubungi Datuk Idris katanya, tidak ada (nafi). Tapi, perkara macam ini, kenapa kita nak jadikan satu cerita, seolah-olah Umno ini langsung tiada jasa.

Artikel Berkaitan:

“Kita cuma meranap dan meruntuhkan Umno secara total, satu persatu. Seolah-olah parti yang ada sekarang ini jauh lebih baik daripada parti Umno. Cuba fikir, adakah parti yang ada sekarang ini jauh lebih baik daripada Umno?

“Mungkin perkara ini berlaku kerana keadaan semasa, namun adakah kerajaan yang ada hari ini diterima baik oleh rakyat, dengan segala perbuatan yang berlaku?,” tegasnya.

Ditanya tindakan keluar parti mungkin disebabkan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan yang diterajui Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beliau bagaimanapun menyatakan, itu bukan jalan penyelesaiannya.

Bagaimanapun katanya, kepimpinan parti perlu fikir dan ambil jalan bersama untuk mengatasi segala masalah dan kepincangan yang berlaku.