Tanam padi waktu malam dianggap mustahil, tak masuk akal

Secara tradisinya padi di tanam sekali setahun di kawasan Batu Rakit. (Gambar kecil:Mamat Engah)
Secara tradisinya padi di tanam sekali setahun di kawasan Batu Rakit. (Gambar kecil:Mamat Engah)
A
A
A

BATU RAKIT - Pesawah menyifatkan cadangan kerajaan untuk memperkenalkan penanaman padi pada waktu malam sebagai satu perkara yang mustahil untuk dilaksanakan di sini.

Pesawah, Mamat Engah, 67, berkata, sudah menjadi kebiasaan pesawah mengusahakan tanaman itu pada waktu siang dan berehat pada waktu malam selepas seharian bekerja.

"Cadangan menanam padi pada waktu malam juga akan menambah kos kerana kami perlu memasang lampu.

“Selain itu, kami juga terdedah bahaya kerana pada waktu malam ular dan haiwan berbisa lain keluar dari sarang," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bapa sembilan anak dari Padang Maras itu berkata, secara tradisinya tanaman padi di tanam sekali setahun di kawasan itu walaupun menghadapi masalah sistem pengairan.

“Jadi saya lihat cadangan tanam padi waktu malam tidak sesuai di sini walaupun masalah pengairan diatasi. Kos akan meningkat dan kami tidak mampu menampung kos tambahan,” katanya

Seorang lagi pesawah, Mohamad Rani, 46, berkata, mereka sudah lama bekerja di bawah panas terik matahari dan tidak menjadi masalah untuk meneruskan tradisi nenek moyang mereka itu.

"Mana boleh tanam padi waktu malam. Waktu malam tidak sesuai berada di sawah. Cadangan ini mustahil dan agak tidak masuk akal,” katanya yang mengusahakan tanaman padi lebih 10 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan bakal memperkenalkan beberapa inisiatif baharu termasuk penanaman padi pada waktu malam dalam usaha membantu meringankan kerja rakyat.

Pengerusi PH itu berkata, inisiatif itu juga sekali gus dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja warga asing.