Ahli Parlimen Hulu Terengganu sah keluar Umno

DATUK ROSOL WAHID
DATUK ROSOL WAHID
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid mengesahkan bahawa beliau telah menyerahkan surat untuk keluar Umno berkuat kuasa hari ini, dan kini bergelar wakil rakyat Bebas.

Menurutnya, walaupun berat hati untuk meninggalkan parti itu, namun keputusan besar dalam perjuangannya itu perlu dibuat, demi rakyat.

“Tindakan ini sangat berat untuk dibuat tapi oleh sebab dalam tempoh enam bulan ini, saya rasakan tiada apa yang boleh saya sumbang kepada rakyat Hulu Terengganu sebab di Terengganu ini, tiada orang yang pandang sebab kita pembangkang.

“Di peringkat pusat pun, kita tiada orang pandang sebab kita pembangkang, tapi saya ada rakyat yang perlu dibela. Jadi, setelah fikir panjang dalam tempoh itu, saya fikir bagaimana cara untuk terus membantu rakyat. Akhirnya, saya pilih untuk ikut kerajaan pusat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau mengakui ada ura-ura untuk keluar parti beberapa bulan yang lalu namun beliau mengambil sikap tunggu dan lihat kerana ada janji di peringkat pimpinan bahawa Umno akan kembali jadi kerajaan.

Namun katanya, dalam tempoh itu, beliau tidak melihat satu usaha dan gerakan oleh pimpinan Umno ke arah itu dan beliau tidak nampak ‘cahaya di hujung terowong’.

Rosol turut menegaskan bahawa beliau bukan keluar parti kerana agenda peribadi dan jawatan, sebaliknya melihat sukar untuknya melaksanakan tanggungjawab jika terus kekal bersama Umno.

“Saya kini wakil rakyat Bebas, tapi saya berhasrat untuk menyertai Bersatu jika permohonan saya diterima. Saya pernah didampingi sebelum ini, tapi kali ini saya rasa inilah masanya untuk saya buat keputusan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai reaksi kawan baiknya yang juga Timbalan Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Din Adam yang terkejut dengan tindakannya, beliau berkata, mereka masih berkawan.

“Kawan tetap kawan, saya tak nak sebab parti kita bergaduh. Saya sudah bagi ‘hint’ kepada dia bahawa rakyat perlu dibantu sebelum ini. Saya harap ini adalah tindakan terbaik yang saya buat demi rakyat,” katanya.