Ahli Parlimen, Adun Umno sepatutnya keluar parti

Ahmad Faizal (tengah) teruja menyerahkan pek peralatan persekolahan sumbangan Yayasan Perak kepada sebahagian pelajar memerlukan dari Parlimen Tambun dan Dun Hulu Kinta hari ini.
Ahmad Faizal (tengah) teruja menyerahkan pek peralatan persekolahan sumbangan Yayasan Perak kepada sebahagian pelajar memerlukan dari Parlimen Tambun dan Dun Hulu Kinta hari ini.
A
A
A

IPOH - Semua Ahli Parlimen dan Adun Umno dari seluruh negara sepatutnya sudah lama keluar dari parti itu, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menurutnya, Umno kini merupakan sebuah parti yang tidak lagi relevan dari segala aspek apabila mereka mempertahankan perkara yang secara nyata ditolak rakyat.

Katanya, kesemua wakil rakyat parti berasaskan kaum melayu itu tidak sewajarnya menunggu sebuah parti yang semua orang tahu mengamalkan budaya tidak elok.

"Cuma saya tidak mahu masuk campur hal parti orang lain, kalau sesiapa hendak masuk Bersatu, mereka kena isi borang dan bayar yuran keahlian.

"Kemudian majlis pimpinan tertinggi Bersatu yang akan menentukan siapa yang boleh masuk atau tidak.

"Paling penting, Bersatu bersama rakan PH bersatu hati dalam segala usaha kita dilakukan, kita tahu kemenangan PRU14 adalah atas semangat kerjasama PH dan bukan semata-mata atas kepentingan tertentu," katanya kepada media pada majlis pelancaran program Kembali Ke Sekolah 2019 peringkat negeri Perak di Sekolah Kebangsaan(SK) Pakatan Jaya, Ulu Kinta di sini hari ini.

Seramai 1,000 pelajar sekolah Parlimen Tambun dan Dun Hulu Kinta menerima sumbangan pek peralatan persekolahan bernilai RM100 daripada Ahmad Faizal.

Ahmad Faizal berkata, susulan spekulasi lebih ramai Ahli Parlimen Umno dkatakan bakal keluar parti, beliau menegaskan tidak pernah membuat sebarang kerja menarik mana-mana wakil rakyat Umno untuk menyertai Bersatu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sehingga kini tiada Ahli Parlimen Umno di Perak yang saya hubungi selain Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali yang kini sudah diterima penyertaan menerima parti itu.

"Mengenai keputusan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mengumumkan keluar parti dari Umno bersama lima Ahli Parlimen Umno lain hari ini, terus terang saya mengatakan tidak tahu mengenai perkara itu.

"Saya pernah kenal rapat beliau dan langsung tidak dimaklumkan dahulu mengenai perkara itu," katanya.

Mengenai pelaksanaan program Kembali Ke Sekolah 2019 peringkat negeri Perak, Ahmad Faizal menegaskan program itu dilaksanakan Yayasan Perak yang bakal melibatkan 10,000 pelajar anak Perak sekolah rendah dan menengah di seluruh Perak bermula 14 hingga 24 Disember ini.