Konflik gajah-manusia bakal berakhir

Kawasan kurungan gajah yang dibina di JES.
Kawasan kurungan gajah yang dibina di JES.
A
A
A

KOTA TINGGI - Projek Santuari Gajah Johor atau Johor Elephant Sanctuary (JES) di Kampung Panti dinanti-nantikan penduduk bukan sahaja di daerah ini bahkan kawasan lain yang terjejas berikutan konflik gajah-manusia.

Isu gangguan gajah dilihat amat kritikal terutama di kawasan DUN Sedili di mana sudah berlaku lebih 20 tahun.

Haiwan itu mula memasuki kawasan Felda, Felcra di DUN tersebut serta perkampungan dan memusnahkan tanaman.

Beberapa kemalangan melibatkan haiwan liar itu di Jalan Mawai yang merupakan laluan ke kawasan pelancongan juga pernah berlaku selain tragedi sehingga meragut nyawa penduduk selepas ‘gajah naik minyak’.

DUN Panti pula melibatkan pencerobohan di Kampung Lukut di mana penduduk mendakwa dianggarkan 33 ekor gajah berada di pinggiran kampung di Hutan Panti. Kehadiran haiwan itu ke kawasan kampung dikatakan berlaku akibat habitat mereka terancam selain keluar mencari makanan.

Kawasan baharu yang menjadi ‘mangsa’ pencerobohan gajah adalah di DUN Johor Lama di mana tanaman penduduk musnah selepas memasuki Seluyut dan seterusnya ke Kampung Guntung Nenas dan Teluk Sengat.

Bagaimanapun dalam operasi tangkap dan pindah haiwan itu, sebanyak enam ekor gajah betina berjaya ditangkap dan dipindahkan keluar dari kawasan DUN itu ke habitat baharu yang bersesuaian.

Difahamkan projek JES yang bakal memberi kelegaan buat penduduk terlibat yang kini dalam pembangunan fasa pertama melibatkan peruntukan bernilai RM15 juta bagi peringkat permulaan.

Artikel Berkaitan:

Projek JES perkasa pengurusan gajah di Johor Bagi Pengarah Jabatan Perhilitan Johor, Salman Saaban berkata, pembinaan JES yang sedang berjalan sekarang dapat memperkasakan pengurusan gajah di negeri ini. Menurutnya, JES membantu mengurangkan masalah gangguan gajah di kawasan pertanian dan penempatan penduduk terlibat.

“Habitat gajah akan ditingkatkan melalui pengurusan dan perkayakan habitat yang sesuai untuk gajah seperti mana yang ditetapkan di dalam Pelan Tindakan Konservasi Gajah Kebangsaan (National Elephant Conservation Action Plan-NECAP).

“Selain itu kejayaan projek ini dapat dikongsi penduduk setempat dengan penyediaan peluang aktiviti berasaskan ekopelancongan lestari dan mampu menjana sosio ekonomi kepada mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, kemudahan kurungan yang sedang dibangunkan di JES bukanlah bermaksud untuk mengurung kesemua gajah-gajah bermasalah yang akan ditangkap di negeri ini. Sebaliknya, beliau memaklumkan ia hanya akan digunakan untuk merawat serta memulihkan gajah yang mungkin tercedera semasa ditangkap atau mengalami kecederaan akibat aktiviti pemburuan haram. “Misalnya seperti tercedera terkena jerat atau melatih anak-anak gajah yang ditinggalkan atau terpisah daripada kumpulannya.

“Buat masa ini kemudahan yang disediakan akan dapat menampung enam ekor gajah dalam satu-satu masa. “Selain daripada penempatan gajah di dalam kurungan (ex-situ), tumpuan sebenarnya kepada pengurusan gajah secara semula jadi (in-situ),” katanya.