MBSA tawar diskaun 50 peratus sepanjang Ramadan

Shahrin Ahmad
Shahrin Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memberi peluang kepada orang ramai untuk menyelesaikan bayaran kompaun dengan pengurangan sebanyak 50 peratus sepanjang Ramadan ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, kempen ini dijalankan untuk membantu dan menggalakkan orang ramai yang mempunyai bayaran kompaun untuk menyelesaikannya.

"Kempen bermula 6 Mei hingga 4 Jun itu memberi peluang kepada Orang Kena Kompaun (OKK) menyelesaikan tunggakan kompaun.

"Orang ramai dinasihatkan supaya mengambil peluang ini terutama bagi mereka yang mempunyai tunggakan kompaun untuk menyelesaikannya," katanya.

Dalam pada itu katanya, kompaun Tempat Letak Kereta (Perintah Pengangkutan Jalan MBSA) diberikan pengurangan sehingga RM30.00 daripada jumlah asal di semua kaunter pembayaran MBSA.

"MBSA menyediakan perkhidmatan Pejabat Bergerak Shah Alam On Wheel (SAOW) yang akan beroperasi pada setiap Sabtu di pasar raya terpilih di kawasan pentadbiran MBSA.

“Pembayaran kompaun dapat dilakukan di Kaunter Utama, Wisma MBSA, Persiaran Perbandaran, Seksyen 14, Shah Alam, Pejabat Cawangan Sungai Buloh, Pejabat Cawangan Kota Kemuning, dan Pejabat Cawangan Setia Alam.

"Orang ramai diharap dapat mengambil peluang ini sebaik mungkin terutamanya mereka yang mempunyai kompaun yang tinggi sebelum berdepan dengan tindakan antaranya sekatan urusniaga di kaunter-kaunter Majlis atau membawa tindakan ke mahkamah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebarang pertanyaan berhubung perkara ini boleh menghubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-55222882 atau 03-55105133 sambungan 1477, 1656, 1657 dan 1658 atau pun layari portal MBSA di eps.mbsa.gov.my.

Berikut merupakan jenis-jenis kompaun yang layak untuk mendapat pengurangan sehingga 50 peratus:-

1. Undang-undang Kecil Kedai Gunting Rambut 1983

2. Undang-undang Kecil Taman (MBSA) 2005

3. Undang-undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005

4. Undang-undang Kecil Establisyemen Makanan (MBSA) 2007

5. Undang-undang Kecil Pengendali Makanan (MBSA) 2007

6. Undang-undang Kecil Iklan (MBSA) 2007

7. Undang-undang Kecil Penjaja (MBSA) 2007

8. Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007