Zainuddin Maidin meninggal dunia

Zainuddin Maidin
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin disahkan meninggal dunia pada jam 6.25 petang semalam.

Perkara itu disahkan adiknya, Abdul Lazam Maidin sewaktu dihubungi.

Menurut laporan FMT, Zainuddin disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang akibat paru-paru berair.

Tokoh Wartawan itu sebelum ini pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya akibat masalah paru-paru berair.

Zainuddin dilahirkan pada 29 Jun 1939 di Kota Kuala Muda, Kedah dan melanjutkan pelajarannya du Maktab Mahmud, Alor Setar.

Beliau memulakan kerjaya sebagai pemberita apabila diambil bekerja sebagai ‘stringer’ dengan Utusan Melayu di Alor Setar dari tahun 1951 hingga 1960.

Pada tahun 1961, beliau berhijrah ke Kuala Lumpur dan bertugas sebagai pemberita tetap di syarikat berkenaan sehingga diberikan tugas sebagai Ketua Pemberita hingga tahun 1971.

Pada tahun 1983, beliau dilantik sebagai Ketua Pengarang Kumpulan dan jawatan tersebut dipegang sehingga tahun 1992 sebelum dilantik sebagai Penasihat Jabatan Pengarang hingga Ogos 1994.

Beliau juga bergiat cergas dalam beberapa pertubuhan kewartawanan dan pernah menjadi Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) dan Presiden Kelab Kebangsaan Wartawan Malaysia.

Sebagai mengenang jasa dan sumbangan beliau kepada negara, Zainuddin telah dianugerahkan beberapa darjah kebesaran.

Semoga roh beliau dicucuri rahmat. Al-Fatihah...