Kes Jong-Nam: Keputusan percakapan saksi, Selasa ini

image
image
A
A
A

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan Selasa depan untuk keputusan notis usul yang difailkan tertuduh pertama dalam kes bunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam, bagi mendapatkan salinan rakaman percakapan tujuh saksi pendakwaan yang ditawarkan kepada pihak pembelaan.

Hakim Datuk Azmi Ariffin menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujahan peguambela, Gooi Soon Seng, yang mewakili tertuduh pertama, Siti Aisyah, 26, dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad.

Pada 7 November lalu, pihak pembelaan bagi tertuduh pertama memfailkan notis usul itu bagi memohon mahkamah merintahkan pihak pendakwaan membekalkan mereka salinan rakaman percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah yang dibuat oleh tujuh saksi kepada polis.

Tujuh saksi tersebut ialah Ahmad Fuad Ramli, Lim Cheng Gam, Tomie Yoshio, Ng Wai Hoong, Dessy Meyrisinta, Raisa Rinda Salma dan Kamaruddin Masiod.

Permohonan pihak pembelaan dibuat mengikut Seksyen 51 dan 112 (2) Kanun Tatacara Jenayah.

Terdahulu, semasa prosiding, Gooi dalam hujahannya berkata adalah menjadi kewajipan pihak pendakwaan untuk membekalkan semua dokumen relevan kepada pihak pembelaan bagi memastikan anak guamnya mendapat perbicaraan yang adil.

Selain itu, katanya, salinan rakaman percakapan di bawah Seksyen 112 (kenyataan saksi) bukan hak istimewa pihak pendakwaan tetapi dokumen awam.

Beliau menggesa mahkamah untuk mengguna pakai ‘Common Law’ (undang-undang Inggeris) mengenai pendedahan kenyataan kerana undang-undang tersebut juga diamalkan di kebanyakan negara Komanwel termasuk Singapura dan Brunei.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga berpendapat bahawa tidak ada masalah mengganggu saksi kerana mereka (saksi) ditawarkan kepada pihak pembela dan pendakwaan telah mengakhiri kes mereka.

“Sehingga kini, kami hanya menemubual dua saksi pendakwaan yang ditawarkan dan kami masih belum dapat menghubungi saksi-saksi lain.

"Selain itu, kami dimaklumkan oleh pihak pendakwaan seorang saksi, Lim Cheng Gam sudah meninggal dunia,” katanya.

Gooi berkata tertuduh perlu diberi setiap peluang untuk membuktikan pembelaanya dan adalah bertentangan dengan prinsip keadilan untuk pendakwaan enggan memberikan keterangan material dalam simpanan mereka yang boleh melemahkan kes pendakwaan atau memperkukuhkan kes pembelaan.

“Oleh itu, saya berdoa agar pendakwaan harus diarahkan oleh mahkamah ini untuk mengemukakan salinan rakaman percakapan saksi Seksyen 112 kepada tertuduh,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Iskandar berkata di bawah undang-undang Malaysia, dokumen kenyataan Seksyen 112 adalah hak istimewa pihak pendakwaan.

Beliau berkata pihaknya boleh memberi dokumen lain yang berkaitan kepada pihak pembelaan tetapi tidak kenyataan saksi Sksyen 112.

"Kami memberikan dokumen lain yang diminta oleh pembelaan termasuk laporan forensik polis tetapi bukan salinan rakaman percakapan saksi Seksyen 112...itu pendirian yang kami ambil,” katanya.

Pada 16 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan Siti Aisyah, seorang warga Indonesia, dan seorang wanita Vietnam, Doan Thi Huong, 29, supaya membela diri atas pertuduhan membunuh Kim Chol.

Kedua-dua mereka didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada jam 9 pagi, 13 Feb 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 7 hingga 10, 28-31 Jan dan 18-19 Feb tahun depan sebagai tarikh untuk Siti Aisyah membela diri manakala 11-14, 18-21 Mac, 1-4, 8-9 April untuk Doan berbuat demikian. - Bernama