Kerajaan jadikan Malaysia negara maju dengan dasar baik

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab pertanyaan pemberita selepas melancarkan platform e-dagang Commodities Global Trade Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab pertanyaan pemberita selepas melancarkan platform e-dagang Commodities Global Trade Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan baharu, yang akan mencapai tempoh satu tahun dalam masa beberapa hari, menggariskan matlamat yang jelas, iaitu menjadikan Malaysia sebagai negara maju dengan dasar perlindungan sosial dan alam sekitar yang baik, keterangkuman ekonomi dan harmoni, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri menggariskan asas Malaysia yang baharu, antara lain meningkatkan produktiviti di semua peringkat, menggalakkan pelaburan berkualiti, memastikan pertumbuhan ekonomi jangka panjang yang mampan, dan membantu industri berkembang.

Beliau berkata Malaysia, seperti kebanyakan negara membangun yang lain, sedang menuju ke era baharu dan mendepani ekonomi digital.

“Saya yakin negara akan melangkah ke masa depan secara progresif dan masih mengekalkan budaya, warisan dan legasi kita.

“Kita telah mencapai banyak kemajuan untuk berada pada tahap hari ini dan di sebalik semua cabaran, kita tetap bersatu sebagai rakyat Malaysia,” katanya semasa melancarkan platform perdagangan e-dagang Bohai Commodity Exchange of China (BOCE) Malaysia/ASEAN di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, ekonomi digital bukan hanya memberi manfaat kepada syarikat pemula niaga tetapi juga kepada syarikat sedia eksport sedia ada yang mahu menceburi keterangkuman digital.

Dengan adanya platform e-dagang disokong oleh kerajaan, perdagangan rentas sempadan lebih selamat, lebih cekap dan berkesan untuk perniagaan, katanya.

Dr Mahathir berkata, perjanjian perdagangan bebas (FTA), yang ditandatangani oleh kerajaan Malaysia, dapat membantu syarikat untuk mengeksport dan meningkatkan daya saing Malaysia, mengukuhkan keyakinan pelabur dan membina ekonomi negara yang mampan.

Artikel Berkaitan:

"Penting kepada perniagaan Malaysia untuk melangkaui sempadan kita, meninjau lebih banyak peluang dan mengembangkan pasaran.

“Di peringkat ASEAN, Malaysia mempunyai enam FTA serantau dengan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA), China, Korea, Jepun, Australia, New Zealand dan India,” katanya.

Mengenai platform perdagangan e-dagang BOCE Malaysia/ASEAN, Dr Mahathir berkata, Putrajaya kini menjadi antara enam pejabat global BOCE yang beroperasi di luar China, selain Amerika Syarikat, Kanada, New Zealand, Ukraine dan Australia.

Perdana Menteri berkata, ini merupakan platform perdagangan e-dagang komoditi pertama Malaysia yang dikendalikan oleh syarikat Malaysia, Commodities Global Trade Sdn Bhd (CGTSB) yang memegang hak eksklusif di bawah BOCE.

Hak ini membolehkan perdagangan global komoditi memenuhi keperluan seluruh pasaran ASEAN, selain menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk baharu kepada ASEAN untuk meneroka pasaran China, katanya.

Beliau berkata, CGTSB bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Industri Utama, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Pertanian dan Majlis Minyak Sawit Malaysia untuk menggalakkan lebih ramai pengeksport tempatan menggunakan platform itu.

Perdana Menteri berkata, platform e-dagang baharu itu akan meningkatkan perdagangan antara Malaysia dan China, ASEAN dan negara-negara lain dan akan meningkatkan sektor komoditi termasuk minyak sawit.

Sementara itu, Pengerusi CGTSB, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, BOCE telah beroperasi di China selama tujuh tahun dengan jumlah dagangan bernilai kira-kira 1 trilion Renminbi.

"Dengan e-platform itu, CGTSB menjangka lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana dari Malaysia dan ASEAN akan merebut peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka di China," katanya. - Bernama