KXP adalah pelengkap LTAPP, bukan pesaing

Mukhriz pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman, petang tadi.
Mukhriz pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman, petang tadi.
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah berharap Pulau Pinang tidak terancam dengan Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) kerana hanya memfokuskan kepada perkhidmatan kargo sahaja.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, KXP adalah bertujuan untuk melengkapi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang fokus kepada perkhidmatan kargo dan penumpang.

Menurutnya, beliau mengakui KXP akan memberi kesan kepada LTAPP namun pihaknya mahu mencapai titik pertemuan kepentingan kepada kedua-dua negeri termasuk seluruh wilayah utara ini agar ia dapat dilonjakkan lebih ke hadapan.

"Isu yang sama kita bangkitkan kalau perkhidmatan kargo di seluruh utara jika ia tidak dapat ditangani dengan baik, tidak semestinya melalui LTAPP sekalipun, bukan hanya Pulau Pinang tetapi Kedah juga akan terjejas. Jadi tujuan KXP ini adalah untuk membantu Pulau Pinang.

"Semua pembentangan mengenai pembesaran LTAPP ia lebih tertumpu kepada perkhidmatan penumpang kerana sudah mencapai 6.5 juta penumpang setahun dan dianggar bakal meningkat kepada 8 juta penumpang setahun tidak lama lagi.

"Kami mahu tumpu kepada kargo sahaja, kami tidak fokus kepada penumpang, jadi kita harap dengan adanya perkhidmatan kargo di KXP akan membantu seluruh wilayah utara termasuk Pulau Pinang," katanya kepada sidang akhbar di Wisma Darul Aman petang tadi.

Mukhriz berkata demikian ketika menjawab kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bahawa KXP bukan sebagai pelengkap LTAPP sebaliknya dilihat sebagai pesaing kepada lapangan terbang tersebut.

Menurutnya, pembinaan KXP akan memberi saingan kepada LTAPP untuk mendapatkan syarikat bagi menggunakan perkhidmatan kargo di Koridor Utara sekali gus menyebabkan pengurangan kadar penggunaan kemudahan infrastruktur kargo sedia ada di LTAPP.

Artikel Berkaitan:

Jelas Kon Yeow, persaingan itu bakal mengurangkan Pelaburan Langsung Asing (FDI) Pulau Pinang disebabkan pelabur akan beralih ke kawasan Kulim, Kedah atau kemungkinan besar ke negara lain.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan A Kumaresan (PKR-Batu Uban) mengenai impak pembinaan KXP kepada ekonomi Pulau Pinang untuk jangka masa panjang di Sidang DUN Pulau Pinang hari ini.