Pengurangan kadar levi bagi PLKS mulai 30 April

Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen hari ini mengumumkan pengurangan kadar levi Pekerja Asing pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi tahun ke-11 dikuatkuasakan, bermula 30 April lepas.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia selaras dengan Perintah Fi (Pas Penggajian, Pas Lawatan Kerja Sementara) Dan Pas Kerja) (Pindaan) 2019 yang diwartakan pada 30 April lepas.

Menurutnya mulai tarikh itu, kadar levi baharu bagi PLKS tahun ke-11 Sektor Perkhidmatan, Pembinaan, Perkilangan dan Perlombongan dan Kuari dikurangkan dari RM10,000 kepada RM6,000, manakala bagi sektor Perladangan dan Pertanian, dikurangkan dari RM3,500 kepada RM2,000.

“Hanya PLKS yang tamat pada 30 April 2019 dan ke atas sahaja layak diberikan pengurangan kadar levi berkenaan. Bagi PLKS yang tamat pada 29 April 2019 dan ke bawah, kadar levi kekal pada kadar RM10,000 dan RM3,500, katanya.

Beliau berkata majikan perlu hadir sendiri bagi membuat lanjutan PLKS tahun ke-11 di Ibu Pejabat Imigresen Malaysia di Putrajaya bagi Semenanjung Malaysia dan Ibu Pejabat Negeri bagi Sabah, Sarawak dan Labuan. - Bernama