'Saya yakin itu tulisan, tandatangan Najib'

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju dengan cadangan permohonan pinjaman berjumlah RM3.95 bilion dikemukakan SRC International Sdn Bhd kepada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) bagi tujuan modal pusingan dan pelaburan am tanpa had.

Bekas Penolong Naib Presiden di Jabatan Pendapatan Tetap (KWAP), Amirul Imran Ahmat berkata, sepucuk surat bertarikh 3 Jun 2011 mempunyai catatan tulisan tangan serta tandatangan Perdana Menteri pada masa itu, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang ditujukan kepada Ketua Pegawai Eksekutif KWAP yang menyatakan: “Bersetuju dengan cadangan ini” bertarikh 5 Jun 2011.

“Mengikut pemahaman saya, catatan “Bersetuju dengan cadangan ini” bermaksud Perdana Menteri bersetuju untuk KWAP memberikan pinjaman kepada SRC. Saya boleh cam tulisan dan tandatangan Datuk Seri Najib kerana saya biasa lihat tulisannya dan tandatangannya sepanjang saya bertugas di KWAP dan saya yakin ini adalah tulisan dan tandatangan Datuk Seri Najib,” kata Amirul Imran yang membacakan penyataan saksinya pada perbicaraan hari ke-12 kes Najib yang didakwa atas tujuh pertuduhan berhubung dana SRC berjumlah RM42 juta.

Saksi pendakwaan ke-29 itu berkata beliau telah menerima surat daripada SRC bertarikh 3 Jun 2011 yang diterima daripada ketuanya, Pengarah Jabatan Pendapatan Tetap, arwah Ahmad Norhisham Hassan.

Beliau berkata, surat itu merupakan surat permohonan pinjaman yang disediakan SRC dan dialamatkan kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Kewangan untuk mendapatkan pinjaman KWAP sebanyak RM3.95 bilion bagi tujuan modal pusingan dan pelaburan am tanpa had.

“Surat berkenaan ditandatangani oleh Pengarah SRC bernama Nik Faisal Ariff Kamil. SRC pada ketika itu adalah syarikat milik penuh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mana 1MDB merupakan syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan,” katanya.

Amirul Imran berkata, pada 16 Jun 2011, beliau telah menghantar emel kepada Noor Azlina Abu Bakar iaitu pembantu kepada Nik Faisal Ariff Kamil, supaya mengemukakan dokumen antaranya akaun 1MDB yang diaudit bagi tahun-tahun kewangan sejak diperbadankan, akaun pengurusan terkini, maklumat/profil syarikat, profil korporat 1MDB dan SRC serta maklumat pelan/strategi perniagaan dan mandat pelaburan 1MDB dan SRC. Beliau berkata pada 29 Jun 2011, beliau menerima emel daripada arwah Ahmad Norhisham bersama emel daripada Nik Faisal Ariff Kamil pada hari sama memaklumkan bahawa beliau akan menyerahkan dokumen yang diminta KWAP pada 30 Jun 2011.

Semasa menerangkan mengenai pinjaman itu pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Ishak Yusoff, beliau berkata, pada 2011 KWAP telah meluluskan pinjaman kepada SRC berjumlah RM2 bilion manakala pada 2012 berjumlah RM2 bilion dan jumlah pinjaman yang diberikan KWAP kepada SRC berjumlah RM4 bilion.

Artikel Berkaitan:

Amirul Imran yang meletak jawatan di KWAP pada Mei 2014 berkata, KWAP dibenar memberikan pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan atau mana-mana Kerajaan Negeri, mana-mana pihak berkuasa awam atau perbadanan yang Kerajaan Persekutuan mempunyai kepentingan di dalamnya dan juga syarikat-syarikat atas terma-terma yang menguntungkan KWAP.

“Mengikut polisi proses pinjaman KWAP, peminjam perlu mengemukakan permohonan pinjaman kepada KWAP dengan disertakan dokumen-dokumen sokongan atau kertas kerja pinjaman. Jabatan Pendapatan Tetap KWAP akan mengkaji dan menilai segala permohonan sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Pelaburan yang dipengerusikan oleh CEO.

Setelah Jawatankuasa Pelaburan bersetuju dengan cadangan pelaburan, maka kertas cadangan pelaburan akan disediakan dan dikemukakan untuk mendapat keputusan Panel Pelaburan KWAP yang akan memutuskan samada pelaburan diteruskan atau tidak,” katanya.

Amirul Imran yang kini berkhidmat di SME Bank berkata syarat pinjaman adalah bergantung kepada keupayaan membayar balik berdasarkan prestasi kredit peminjam yang akan dinilai oleh Jabatan Pendapatan Tetap KWAP.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Isnin. - Bernama